Aktivis seru tindakan polis selepas setahun buli siber terkait kematian Esha

Aktivis seru tindakan polis selepas setahun buli siber terkait kematian Esha

Aktivis itu jadi sasaran serangan selepas secara terbuka dedah buli siber 'kejam' terhadap pempengaruh TikTok A Rajeswary, atau terkenal sebagai Esha.

tiktok
Seorang wanita mendakwa mengalami gangguan terancang lebih setahun, termasuk ugutan rogol, dan serangan seksual daripada akaun-akaun palsu di TikTok.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak asasi manusia menyeru polis mengambil tindakan terhadap buli siber yang sedang dihadapinya di TikTok, sambil memberi amaran gangguan digital tidak dikawal mampu membahayakan nyawa serta menjejaskan usaha Malaysia membanteras penyalahgunaan dalam talian.

Wanita berusia 41 tahun itu, yang enggan dinamakan memberitahu FMT, beliau telah membuat laporan polis pada Isnin selepas lebih setahun berdepan gangguan terancang, komen ugutan rogol, dan serangan seksual, serta fitnah daripada akaun palsu di TikTok. Beliau berkata, dua laporan polis lain mengenai perkara sama telah dibuat pada September tahun lalu.

Aktivis itu berkata, beliau menjadi sasaran serangan berterusan di TikTok susulan secara terbuka mendedahkan buli siber ‘kejam’ terhadap pempengaruh TikTok A Rajeswary, yang lebih dikenali sebagai Esha. Buli siber itu dipercayai menjurus Esha membunuh diri pada Julai 2024.

“Akaun-akaun ini berterusan mendakwa saya adalah dalang di sebalik kematian kawan saya, Esha. Mereka memuat naik video, kapsyen, dan komen mengandungi kata-kata kesat, provokasi, fitnah, tuduhan, ugutan, dan hinaan dengan niat memalukan saya.

“Gangguan ini menyukarkan saya untuk fokus pada kerja dan keluarga. Saya mengalami tekanan emosi teruk dan pernah terlintas di fikiran untuk mencederakan diri sendiri. Saya ceritakan ini untuk menunjukkan betapa seriusnya kesan serangan ini terhadap mental dan keselamatan saya.”

Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat beberapa akaun selepas aduan dibuat, serangan kini diteruskan oleh akaun-akaun baharu dengan nama pengguna yang sama dengan akaun yang sudah disekat.

Aktivis itu berharap agar pihak polis mengambil tindakan di bawah undang-undang berkaitan, termasuk Seksyen 507D Kanun Keseksaan yang dikenali sebagai ‘Klausa Esha’.

Seksyen 507D, yang berkuat kuasa pada Julai, menjenayahkan perkataan atau perbuatan digunakan untuk mengugut, menghina atau memfitnah dengan niat mendorong seseorang mencederakan diri sendiri atau mencederakan orang lain.

Hukuman bagi kesalahan itu termasuk penjara sehingga satu tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan minggu ini, Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) mengutuk kempen buli siber dan apa digambarkannya sebagai sikap tidak peduli pihak berkuasa.

Kumpulan itu berkata, beberapa laporan polis dan aduan rasmi kepada SKMM – termasuk surat kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 2024 – tidak mendapat sebarang maklum balas.

GHRF menyatakan, penderaan terhadap aktivis itu mencerminkan corak ugutan lebih meluas terhadap wanita di alam siber. Ia memetik kes lain di mana gangguan siber meningkat menjadi tragedi, termasuk kes bunuh diri Thivya Nayagi (2020), Sashikala Nadarajah (2022), dan Esha.

NGO itu berkata, walaupun ‘Klausa Esha’ diperkenalkan untuk melindungi mangsa terutamanya wanita daripada penderaan dalam talian, ia tetap tidak berkesan tanpa penguatkuasaan.

“Malaysia tidak boleh lagi kehilangan nyawa akibat penderaan dalam talian yang boleh dielakkan,” kata presiden GHRF S Shashi Kumar.

“Undang-undang sudah ada…Apa yang tiada hanyalah penguatkuasaan, kemahuan politik, dan tanggungjawab institusi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.