
Hukuman itu berdasarkan penguatkuasaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 mulai hari ini.
Pindaan itu turut merangkumi kesalahan berkaitan penyebaran maklumat peribadi tanpa izin atau ‘doxing’, yang kini diklasifikasikan sebagai jenayah serius dan boleh membawa hukuman penjara untuk tempoh sama.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) berkata pengenalan peruntukan khusus iaitu Seksyen 507B hingga 507G itu dibuat selepas penelitian terhadap kelemahan dalam undang-undang sedia ada.
“Ia didapati tidak mencukupi menangani pelbagai bentuk ancaman psikologi dan emosi, terutamanya dalam persekitaran digital yang semakin mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Dua akta itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Dis tahun lalu dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen manakala enam hari kemudiannya di Dewan Negara.
Menurut BHEUU JPM, pindaan itu khusus menangani isu buli dengan lebih efektif dan menyeluruh, termasuk buli secara fizikal serta buli siber.
“Ia memperkenalkan peruntukan khusus membolehkan tindakan undang-undang lebih tegas terhadap pelaku buli.
“Ia selaras komitmen kerajaan melindungi masyarakat terutamanya golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja serta individu mengalami tekanan mental akibat gangguan buli,” katanya.
Agensi itu turut menjelaskan pelaksanaan akta itu juga untuk memperkemaskan prosedur perundangan, meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah dan memberi ruang kepada tindakan lebih pantas serta tegas.
“Kerajaan juga akan terus memastikan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini dilakukan secara adil dan saksama, tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.