
Tertuduh, Inspektor S Kushalani, 32, Sarjan A Rajaratnam, 42, dan Konstabel M Uthayakumar, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.
Mereka didakwa masing-masing membantu anggota kumpulan Geng 36 yang merupakan satu pertubuhan menyalahi undang-undang di Beats Club, Desa Sri Hartamas, antara 1 Jan 2015 dan 2 Mei tahun lalu mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias menawarkan wang jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Okt untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala Kushalani dan Rajaratnam diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Uthayakumar diwakili peguam Nicholas Netto.