
Panel pakar juga berkata militan gerakan pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu ke Arab Saudi dan mengebom bandar Taiz di Yemen. Panel menuduh Houthi melakukan penyeksaan dan mengerah tentera kanak-kanak, kedua-duanya jenayah perang.
Arab Saudi mengetuai perikatan negara-negara Arab dengan sokongan Barat untuk mengembalikan kerajaan Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Hadi digulingkan dari ibu negara Sanaa oleh Houthi yang bersepakat dengan Iran pada 2015.
Pakar berkata mereka tidak memeriksa Amerika Syarikat dan Britain, yang membekalkan senjata dan perisikan kepada perikatan itu, atau sokongan Iran kepada Houthi, tetapi badan PBB lain melakukannya. Panel menggesa semua negara mengehadkan jualan senjata agar perang boleh ditamatkan.
“Boleh dikatakan semua pihak yang disiasat bersalah, dan kami tidak dapat melihat contohnya Al-Qaeda dan IS yang juga terlibat di Yaman,” kata anggota panel Charles Garraway pada sidang media.
Laporan ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB itu merupakan siasatan pertama PPB ke atas jenayah perang di Yaman walaupun kumpulan hak asasi antarabangsa pernah melapornya. Ia diterbitkan sebelum rundingan damai PBB antara kerajaan Hadi dan Houthi pada 6 September ini di Geneva, Switzerland.
Lebih 10,000 terbunuh dalam perang di Yaman dan 8.4 juta orang diambang kebuluran, kata panel itu.
“Kebayakan kecederaan atau kematian orang awam yang dilaporkan disebabkan oleh serangan udara tentera bersekutu. Dalam tempoh 3 tahun yang lalu, serangan udara mengenai kawasan perumahan, pasar, upacara pengebumian, majlis perkahwinan, pusat tahanan, bot awam dan pusat perubatan,” katanya.
Tentera bersekutu mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Laut Merah dan lapangan terbang Sanaa, menyebabkan rakyat Yemen terputus bekalan penting, yang juga mungkin boleh dianggap jenayah antarabangsa, kata pakar.
Kakitangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan angkatan proksi yang sebahagian daripada tentera bersekutu memperkosa tahanan dan pendatang, katanya.
Tentera bersekutu yang diketuai Saudi berkata ia sudah merujuk laporan PBB itu kepada pasukan guamannya.
“Tentera bersekutu akan mengambil pendirian sewajarnya dalam perkara ini dan akan mengumumkan pendirian itu sebaik sahaja pasukan guaman melaporkan pemerhatiannya,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Luar Negeri UAE Anwar Gargash berkata laporan itu perlu dijawab. Namun beliau menambah rantau itu perlu dipelihara daripada “kemasukan Iran”. Pegawai Houthi belum dapat dihubungi.
Sasaran
Panel berkata siasatan ke atas 11 kejadian menimbulkan kebimbangan serius mengenai proses sasaran tentera bersekutu.
Serangan yang tidak mengecualikan orang ramai atau struktur yang dilindungi undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah satu pencabulan, katanya. Tetapi siasatan menunjukkan komander di lapangan “gagal merujuk pihak yang memiliki maklumat tentang Senarai Tidak Boleh Serang di pusat perintah bersama tentera bersekutu”.
Garaway berkata panel tidak diberi akses penuh kepada proses sasaran tentera bersekutu walaupun beberapa kali diminta, menyebabkan panel sangat sukar membuat kesimpulan yang kukuh.
“Tetapi apa yang kami dapat lihat di lapangan menunjukkan mungkin ada masalah sistemik dalam proses sasaran,” katanya.
Kumpulan pakar ini yang membuat berpuluh kunjungan ke Yaman berkata mereka sudah menghimpunkan senarai suspek.
Pengerusi panel, Kamel Jendoubi berkata 3 bom mengenai satu pasar ikan berdekatan hospital di Hodeibah pada 2 Ogos, meragut 40-55 nyawa. Tentera bersekutu nafi bertanggungjawab.
“Nampaknya serangan itu seperti dari arah selatan, di mana tertumpunya angkatan UAE dan Hadi, berdekatan lapangan terbang,” kata Jendoubi.
Garraway memberita Reuters: “Ia kena dengan corak…jika hospital diserang, soalnya adakah komander yang memberi arahan itu pernah baca Senarai Tidak Boleh Serang.”