
Bercakap pada sidang media sebelum Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan dan sidang kemuncak berkaitan di sini, hari ini, Guterres berkata Malaysia menjadi penyokong teguh hak orang Palestin dan perjuangan mereka ke arah menentukan nasib dan menubuhkan negara sendiri.
“Saya ingin menyuarakan penghargaan saya atas dasar luar Malaysia yang tetap, koheren dan tanpa dwistandard, serta lantang memperjuangkan hak orang Palestin untuk menentukan nasib dan pembentukan negara sendiri,” katanya.
Katanya, walaupun butiran perjanjian gencatan senjata di Gaza masih dibincangkan, perkara yang perlu diberi keutamaan segera adalah memastikan perjanjian itu bertahan, dan fasa pertama perjanjian dilaksanakan sepenuhnya.
“Apa yang penting sekarang adalah memastikan gencatan senjata bertahan. PBB bersedia memainkan apa saja peranan diputuskan oleh pihak utama yang terlibat dalam proses ini,” katanya.
Kenyataannya itu dalam pada pihak-pihak di wilayah berkenaan dan di peringkat antarabangsa terus berusaha ke arah kestabilan di Gaza.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut memaklumkan Guterres bahawa Malaysia bersedia menyertai misi pengaman PBB di Gaza bersama negara lain yang sealiran termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut laporan Bernama.
Malaysia berulang kali menggesa pertempuran ditamatkan dan perlindungan orang awam, serta terus menyatakan sokongan untuk penyelesaian dua negara dan keahlian penuh Palestin di PBB.
Malaysia menyokong status negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan ibu negara di Baitulmaqdis Timur.
Ketika ucapan pembukaannya di Persidangan Asia Timur hari ini, Anwar turut memuji perancangan Presiden AS Donald Trump untuk menamatkan konflik di Gaza, tetapi berkata lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan penyelesaian politik adil dan berpanjangan untuk orang Palestin.
Rancangan keamanan Gaza yang diumumkan Trump pada September lalu, melibatkan cadangan 20 perkara yang menyasarkan penamatan konflik di Gaza. Ini merangkumi gencatan senjata segera, pembebasan tebusan, pertukaran tahanan, penyahtenteraan di Gaza, pengerahan pasukan kestabilan antarabangsa, pentadbiran peralihan oleh teknokrat Palestin, dan pembangunan semula berskala besar.