
Perkara itu disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam mesyuarat dua hala yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Malaysia turut menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan Palestin, serta mengalu-alukan pendirian konsisten PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Anwar berkata pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama Malaysia-PBB, termasuk bawah kerangka ASEAN-PBB, serta menzahirkan sokongan penuh Malaysia terhadap agenda reformasi PBB, termasuk Pact for the Future dan Inisiatif UN80.
Beliau juga menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkasakan Visi Komuniti Asean 2045, seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 20 minit itu, Anwar dan Guterres turut membincangkan peranan Malaysia selaku Pengerusi Asean dalam memudah cara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja dan memajukan usaha dialog inklusif di Myanmar.
Turut disentuh usaha memperkukuh agenda perubahan iklim global termasuk penyerahan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) 3.0 Malaysia menjelang Persidangan Pihak-pihak ke-30 (COP30) di Brazil.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan PBB dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pembangunan mampan sejagat,” kata Anwar.
Guterres tiba di Malaysia pada pagi Ahad sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.