Setiausaha agung PBB ragu pilihan raya Myanmar bebas, adil

Setiausaha agung PBB ragu pilihan raya Myanmar bebas, adil

Antonio Guterres berkata beliau tak percaya pilihan raya yang dijadual Disember ini menyumbang pada penyelesaian konflik di negara itu.

Antonio Guterres
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata komuniti antarabangsa seharusnya menumpukan perhatian kepada bantuan kemanusiaan dan usaha menghentikan keganasan.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan keraguan terhadap pilihan raya yang dirancang Myanmar pada Disember ini, dengan berkata ia tidak menyumbang kepada penyelesaian krisis di negara itu.

“Tiada siapa percaya bahawa pilihan raya itu akan bebas dan adil. Saya juga tidak percaya ia akan menyumbang pada penyelesaian kepada masalah di Myanmar,” katanya pada sidang media sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Beliau menjawab soalan mengenai sama ada PBB akan menyokong Asean dalam menghalang rejim tentera Myanmar daripada meneruskan pilihan raya tersebut, yang dijangka mengecualikan sebahagian besar penduduk, termasuk puluhan juta orang di kawasan bergolak.

Guterres menegaskan bahawa komuniti antarabangsa seharusnya menumpukan perhatian kepada bantuan kemanusiaan dan usaha menghentikan keganasan.

“Inilah masanya untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan, menghentikan keganasan, dan pada masa sama, membuka laluan ke arah proses politik yang membawa kepada pemerintahan awam serta penghormatan terhadap tadbir urus berperlembagaan,” katanya.

Kenyataan Guterres itu dibuat ketika kebimbangan serantau semakin meningkat bahawa pilihan raya yang dirancang junta itu — yang menurut penganalisis akan dikawal ketat dan mengecualikan kawasan dikuasai pembangkang — sebenarnya bertujuan mengabsahkan pemerintahan tentera, bukan memulihkan demokrasi.

Myanmar dibelenggu kekacauan sejak tentera merampas kuasa pada Februari 2021, menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi.

Sejak itu, junta berdepan penentangan bersenjata meluas dan kecaman antarabangsa, manakala usaha Asean melalui Konsensus Lima Perkara (5PC) hanya menunjukkan kemajuan terhad.

Ketua PBB puji peranan Asean kekalkan kestabilan

Guterres turut menyeru diwujudkan struktur kuasa global yang lebih seimbang, dengan menegaskan dunia perlu bergerak ke arah multipolariti tulen bagi memastikan keamanan, keadilan dan keberkesanan multilateralisme.

Beliau berkata dunia yang didominasi beberapa kuasa besar boleh menjejaskan undang-undang antarabangsa serta nilai-nilai yang termaktub dalam Piagam PBB, dan satu-satunya cara untuk menjamin sistem antarabangsa yang adil dan stabil ialah dengan mengukuhkan hubungan seimbang antara negara dan blok serantau.

Menyoroti peranan Asean yang semakin penting dalam mengekalkan kestabilan serantau, Guterres berkata adalah penting bagi pelbagai negara dan kumpulan serantau membina rangkaian merentas dimensi ekonomi dan politik.

“Ini dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh kuasa besar dan menghindari pembahagian geopolitik dunia kepada blok yang saling bertentangan, seperti yang berlaku semasa Perang Dingin.

“Apa yang kita perlukan ialah keharmonian, dan keharmonian datang daripada keseimbangan. Kita perlukan dunia dengan keseimbangan kuasa yang lebih besar — dan untuk mencapainya, kita mesti memupuk dunia multipolar yang sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.