
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan syarat itu perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah sebelum mereka layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Antara syarat utama ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit serius serta mampu melaksanakan ibadah haji tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang lain.
Jemaah menghidap penyakit seperti kegagalan buah pinggang, penyakit jantung serius, paru-paru kronik, hati kronik, atau kanser yang masih menjalani rawatan, dianggap tidak layak menunaikan haji.
Turut termasuk dalam kategori tidak layak ialah warga emas mengalami dementia atau terlalu lemah, individu masalah mental yang menjejaskan fungsi kognitif, wanita hamil berisiko tinggi serta mereka yang mempunyai penyakit berjangkit aktif.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata, aspek keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan operasi haji setiap tahun.
“TH sentiasa mengambil serius kesihatan jemaah haji Malaysia, terutama ketika berada di Tanah Suci. Sebahagian besar petugas di sana setiap tahun terdiri daripada anggota perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Menurutnya, bagi musim haji tahun depan, TH akan mengekalkan kemudahan klinik di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah, lengkap untuk pesakit luar dan farmasi dikendalikan petugas kesihatan bertauliah.
Bagaimanapun, Mustakim menjelaskan TH tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan sendiri di Tanah Suci, dan jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi.
“KKM akan memantau dengan rapi keadaan jemaah yang dirawat di hospital-hospital Arab Saudi, dan sekiranya perlu, kemudahan di hospital swasta tempatan juga akan digunakan,” katanya.
Sebanyak 225 petugas kesihatan KKM akan digerakkan bersama TH bagi memastikan perkhidmatan perubatan terbaik kepada jemaah Malaysia sepanjang musim haji 2026.
Mustakim mengingatkan kesihatan baik adalah antara syarat kemampuan (istito’ah) untuk menunaikan haji dan semua bakal jemaah wajib lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menerima tawaran menunaikan ibadah itu.
“Jemaah disaran membuat persediaan fizikal awal kerana mereka akan berdepan cuaca panas dan berdebu sepanjang berada di Arab Saudi,” katanya.