Anwar puji kejelasan moral, pendirian PBB terhadap Gaza

Anwar puji kejelasan moral, pendirian PBB terhadap Gaza

Perdana menteri memuji ketegasan pendirian badan dunia itu dalam menangani krisis global, termasuk kekejaman di Gaza.

Anwar Ibrahim ASEAN
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata PBB kekal sebagai suara kewarasan dan kemanusiaan sepanjang masa.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas kejelasan moral dan ketegasan pendirian dalam menangani krisis global, termasuk kekejaman yang sedang berlaku di Gaza.

Berucap pada Sidang Kemuncak Asean-PBB ke-15, Anwar berkata Malaysia mengagumi keteguhan dan komitmen PBB dalam mempertahankan multilateralisme, kebebasan serta hak negara dan golongan minoriti.

“Kita mengagumi keteguhan dan kejelasan moral PBB, termasuk dalam menangani beberapa krisis dunia yang paling sukar, seperti kekejaman berterusan di Gaza. PBB kekal sebagai suara kewarasan dan kemanusiaan sepanjang masa,” katanya.

Anwar berkata pendirian teguh PBB dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan dialog mencerminkan peranan pentingnya dalam mengekalkan keamanan dan keadilan global.

Setiausaha Agung PBB António Guterres dalam ucapannya, memuji peranan Malaysia dalam memudah cara gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, yang membuka jalan ke arah penyelesaian damai pertikaian tersebut.

Beliau turut menyeru kepada pencegahan insiden dan mengurangkan risiko di Laut China Selatan, sambil mengekalkan kebebasan pelayaran selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Mengenai Myanmar, Guterres mengecam pertumpahan darah yang berterusan dan menggesa semua pihak supaya menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan serta melaksanakan proses politik inklusif.

“Ribuan terkorban, berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal dan keperluan kemanusiaan semakin meningkat. Orang Rohingya dan komuniti lain terperangkap dalam kitaran penindasan dan pelarian.

“Pelan bantuan kemanusiaan masih kekurangan dana yang kritikal. Kita perlukan sokongan segera,” katanya.

Guterres menegaskan bahawa pembebasan mereka yang ditahan, termasuk pemimpin yang dipilih secara demokratik, amat penting. Katanya, dalam keadaan sekarang, pilihan raya hanya berisiko menambah pengasingan dan ketidakstabilan.

Myanmar terus dilanda konflik perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi, diikuti penahanannya.

Pada tahun sama, pemimpin Asean bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang menuntut penghentian keganasan, dialog inklusif bagi memulihkan keamanan dan kestabilan, serta penyampaian bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas.

Guterres berkata institusi antarabangsa mesti mencerminkan realiti dunia semasa dengan meningkatkan perwakilan negara-negara membangun dan menyeru pembaharuan terhadap sistem kewangan global.

Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk menangani jenayah rentas sempadan, terutamanya penipuan siber dan pusat sindiket dalam talian, serta menggesa negara-negara memperkukuh kerjasama dalam tadbir urus digital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.