Timor Leste lakar sejarah baharu Asean

Timor Leste lakar sejarah baharu Asean

Penerimaan Timor Leste sebagai anggota ke-11 Asean noktah perjalanan berlikunya sejak 2002, detik bersejarah yang turut iktiraf peranan penting Malaysia.

Anwar Ibrahim Kao Kim Hourn Kay Rala Xanana Gusmão

Sidang Kemuncak Asean ke-47 melakar sejarah baharu bagi pertubuhan serantau itu apabila Timor Leste diterima secara rasmi sebagai negara anggotanya ke-11. Perjalanan Timor Leste yang mempunyai penduduk lebih kurang 1.4 juta untuk menjadi negara anggota bukanlah proses yang mudah kerana sebagai sebuah negara yang secara relatifnya baru merdeka semenjak 2002, beberapa liku harus dilalui.

Timor Leste pernah mengalami beberapa krisis sebelum dan selepas kemerdekaannya. Negara ini bergolak pada 2006, memaksa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan United Nations Integrated Mission in Timor Leste (UNMIT). Malaysia menjadi salah sebuah negara terawal menyumbang kepada misi UNMIT dengan menghantar lebih kurang 250 pegawai polis dan dua pemerhati tentera. Kita juga membantu Timor Leste dalam membentuk dan memberi latihan kepada pasukan polisnya. Malaysia malah menyumbang trak untuk kegunaan polis negara itu.

Saya sendiri dengan beberapa rakan universiti dijemput oleh Institut Diplomasi Timor Leste untuk membina kurikulum program latihan diplomat muda untuk negara tersebut. Kami berulang alik ke Dili selama tiga tahun memberi kuliah dan latihan kepada diplomat muda ini.

Latihan diplomat ini sebenarnya salah satu strategi Timor Leste untuk menyertai Asean. Tidak dapat dinafikan, negara kecil Asia Tenggara ini memerlukan diplomat profesional yang dapat mewakilinya. Sebagai negara maritim yang mempunyai simpanan minyak yang banyak, peranan diplomat penting dalam sebarang rundingan pelbagai dan dua hala. Walaupun Timor Leste mempunyai diplomat kanan yang sebelum ini berkhidmat di beberapa negara Eropah, terutamanya di Portugal, latihan berbentuk watan diperlukan bagi membentuk jati diri yang kuat dalam kalangan diplomatnya. Di samping itu, sistem pendidikannya masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara serantau yang lain. Penguasaan Bahasa Inggeris masih lemah dalam kalangan graduan dan kualiti pendidikan tinggi masih perlu dibaiki.

Keperluan mendapatkan diplomat profesional semakin mendesak apabila para pemimpin politik negara tersebut menyuarakan kekesalan mereka terhadap perjanjian pembangunan dan eksplorasi minyak dan gas di Laut Timur. Kerajaan Dili mendakwa kehilangan lebih USD5 bilion akibat permasalahan perjanjian tersebut. Walaupun kawasan yang diterokai kebanyakannya milik Timor Leste, taktik Australia melengahkan pembangunan kerjasama tersebut telah merugikan kerajaan di Dili. Dili merasakan mereka telah ditipu oleh kerajaan Australia yang sebelum ini memperjuangkan kemerdekaan Timor Leste daripada Indonesia.

Timor Leste turut menganggotai Community of Portuguese Speaking Countries (CPLP). Banyak bantuan telah diberikan kepada Timor Leste terutamanya daripada Brazil. Negara ini pernah dijajah oleh Portugal sebelum Indonesia mengambil alih pentadbiran apabila Lisbon meninggalkan bekas jajahannya tanpa struktur pentadbiran politik yang jelas. Ini mengakibatkan konflik tercetus yang membawa kepada campur tangan Indonesia.

Namun kedudukan geografinya menunjukkan bahawa Timor Leste harus bergerak bersama komuniti di Asia Tenggara. Semenjak mencapai kemerdekaan daripada Indonesia, Timor Leste terus mengorak langkah melobi untuk menjadi negara anggota Asean. Apa yang paling menarik adalah Indonesia sendiri menyokong kemasukan Timor Leste dalam Asean, setelah berpuluh tahun konflik tercetus antara kedua-duanya. Indonesia menarik perhatian masyarakat antarabangsa susulan beberapa dasar ketenteraan di Timor Timur (nama Timor Leste ketika menjadi sebahagian wilayah Indonesia) yang mengakibatkan krisis kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia.

Antara cabaran utama Timor Leste untuk meyakinkan Asean menerimanya ialah kerapuhan sistem ekonomi dan kewangannya. Timor Leste disenaraikan oleh Global Finance sebagai negara ke-35 termiskin di dunia, dengan KDNK hanya USD2 bilion pada 2023. Ketika awal kemerdekaannya, Timor Leste terpaksa bergantung kepada bantuan asing terutamanya daripada Australia, China dan Jepun. Gaji kakitangan kerajaan malah dibayar hasil bantuan asing ini. Beberapa bangunan kerajaan dan kementerian turut dibangunkan hasil sumbangan asing tersebut.

Timor Leste umpama Malaysia 40 tahun yang lalu. Struktur pembangunan sosial dan ekonominya masih belum disusun secara teratur. Kanun tanah tiada. Proses pentadbiran kewangannya masih lagi belum diintegrasikan dalam sistem serantau. Ini cabaran utamanya.

Tetapi Timor Leste telah menunjukkan komitmen untuk menjadi negara anggota Asean. Setiap tahun Asean mengadakan lawatan penilaian terhadap kesediaan Timor Leste menjadi negara anggota. Pelbagai aspek dinilai seperti tahap kesediaan dari aspek pendidikan asas dan tinggi, pembangunan sosial, kemantapan sistem ekonomi dan kewangan, serta penyediaan tenaga pentadbiran yang profesional.

Keanggotaan Timor Leste tahun ini menunjukkan bahawa negara kecil itu bersedia menggalas tanggungjawab sebagai negara anggota. Walaupun beberapa pemerhati serantau berpendapat bahawa Timor Leste akan menjadi bebanan ekonomi kepada Asean sepertimana Myanmar menjadi bebanan politiknya, namun negara ini mempunyai potensi yang besar. Ekonominya masih belum berkembang sepenuhnya. Tidak seperti Myanmar, Timor Leste mengamalkan sistem demokrasi yang lebih terbuka, malah lebih baik daripada sesetengah negara Asean lain. Dengan sistem demokrasi ini, Timor Leste lebih terbuka untuk pembangunan ekonomi masa hadapan.

Untuk Malaysia, ini menjadi titik sejarah kerana keanggotaan Timor Leste diisytiharkan sewaktu sidang kemuncak di Kuala Lumpur. Sejak sekian lama, Malaysia memainkan peranan yang aktif dalam membantu Timor Leste sebagai rakan baharunya di rantau ini. Keanggotaan ini juga akan memberi ruang yang lebih besar kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara untuk dipertingkatkan.

 

Kamarulnizam Abdullah ialah profesor dan felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.