Hakim kurang wang jaminan bekas pengarah air Sabah, isteri

Hakim kurang wang jaminan bekas pengarah air Sabah, isteri

Wang jaminan bekas pengarah Jabatan Air Sabah daripada RM10 juta kepada RM5 juta dan isterinya, daripada RM2 juta kepada RM1 juta.

law_sabah_sprm_6001
KOTA KINABALU:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membenarkan rayuan bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Piut untuk pengurangan wang jaminan dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.

Hakim P Ravinthran membenarkan pengurangan wang jaminan Tahir, 54, daripada RM10 juta kepada RM5 juta, manakala Fauziah, 51, daripada RM2 juta kepada RM1 juta.

Hakim memerintahkan Tahir membayar deposit RM2 juta dengan 2 penjamin tempatan, manakala Fauziah diperintah membayar deposit RM500,000, juga dengan 2 penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2 kali sebulan.

Permohonan pengurangan wang jaminan itu dikemukakan peguam kedua-dua tertuduh PJ Periera manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhamad Anas Mahadzir.

Pada 29 Dis 2016, Tahir dan Fauziah serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.48 juta, selain memiliki secara salah barangan mewah.

Tahir mengaku tidak bersalah terhadap 8 pertuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam 4 akaun bank, 2 pertuduhan memiliki secara salah 6 kenderaan mewah dan satu pertuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Beliau juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya terhadap 2 pertuduhan memiliki secara salah barang kemas.

Fauziah pula dikenakan 19 pertuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah Lim Lam Beng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu pertuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan 3 pertuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Skandal air Sabah: Bekas pengarah, isteri dan penasihat didakwa

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.