SPRM tolak dakwaan Anwar ada ’20 akaun luar negara’

SPRM tolak dakwaan Anwar ada ’20 akaun luar negara’

Agensi itu menyatakan dakwaan yang kembali tular mula disiasat pada 1999 namun tiada bukti mengaitkan Anwar Ibrahim dengan rasuah atau salah guna kuasa.

sprm macc
SPRM mengingatkan semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi individu tanpa asas yang sah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menolak dakwaan mula ditimbulkan pada 1999 yang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel.

Katanya, dakwaan itu tular di TikTok namun disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) 26 tahun lalu, sebelum agensi antirasuah tersebut dikenali SPRM.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu.

“Penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh Abdul Razak Idris, mantan pengarah siasatan BPR, yang dibuat pada 2009,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun dakwaan itu disebut di Parlimen pada 2013, konon memetik WikiLeaks, SPRM berkata laman web pendedahan maklumat itu menafikan penerbitan senarai akaun bank milik Anwar, seperti didakwa.

SPRM mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi individu tanpa asas yang sah.

“SPRM kekal komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.