
Menurut Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Anuar Ghani, Kitingan hadir beri keterangan di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu pada tengah hari tadi bagi membantu siasatan.
Kitingan adalah presiden STAR.
“Beliau tidak pernah, dalam apa-apa bentuk sekalipun, menyatakan pengetahuan atau menerima dana yang disebut dalam video itu,” kata Anuar seperti dipetik The Star.
Anuar berkata Adun Tambunan itu juga dijangka membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, parti itu percaya bahawa video berkenaan adalah sebahagian daripada konspirasi untuk memburukkan nama Kitingan.
Katanya, video berkenaan berkemungkinan telah diubah suai dan dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Ini membuktikan wujudnya ketakutan dalam kalangan pembangkang dan pihak tertentu terhadap pendirian politik Kitingan serta landskap politik Sabah yang sentiasa berubah.
“Mereka sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mengaitkan beliau dengan dakwaan salah laku – yang mana semuanya dinafikan sekeras-kerasnya,” katanya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan dan mendakwa pemimpin itu menerima bayaran terbesar dalam skandal perlombongan tersebut.
Terdahulu hari ini, Kitingan menafikan menerima rasuah berkaitan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau memberitahu portal itu bahawa beliau ‘tidak benar-benar ingat’ mengadakan perbualan dengan Tei, tetapi perbualan itu nampaknya mengenai derma politik.