Subsidi menyeluruh RON95 terdedah salah guna, kata pemimpin PKR

Subsidi menyeluruh RON95 terdedah salah guna, kata pemimpin PKR

Pemimpin sayap Pemuda Jalex Lee berkata penggunaan MyKad bawah BUDI95 memastikan rakyat terus menikmati subsidi sambil bendung ketirisan sistematik.

Petrol 95
Rampasan petrol RON95 yang diseleweng mendominasi usaha penguatkuasaan bagi barangan terkawal dan bersubsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 2024.
PETALING JAYA:
Program BUDI95 akan membantu mengekang ketirisan dan penyelewengan subsidi kerajaan berbanding subsidi menyeluruh petrol yang terdedah salah guna, kata pemimpin Pemuda PKR.

Ahli Majlis Pimpinan Pemuda, Jalex Lee berkata, harga menyeluruh RM2.05 seliter bagi RON95 mengakibatkan kumpulan kecil individu mengeksploitasi sistem melalui penyeludupan secara sistematik.

Jalex Lee.

Lee berkata, BUDI95 merupakan langkah tegas ke hadapan oleh Putrajaya untuk melaksanakan reformasi fiskal yang bermakna, sambil menyelaraskan semula subsidi kerajaan kepada tujuan asalnya iaitu disalurkan kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, syarat penggunaan MyKad untuk membeli RON95, berserta kelayakan 300 liter sebulan, memastikan rakyat akan terus mendapat manfaat subsidi, sambil membendung penyelewengan dan rasuah secara sistematik.

“BUDI95 turut menawarkan manfaat ekonomi tiga dalam satu. Ia mengurangkan ketirisan kerajaan dan menunjukkan pengurusan fiskal berhemah, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing,” katanya dalam kenyataan.

Lee mengulas kebimbangan BUDI95 boleh menyebabkan ketirisan petrol RON95 bersubsidi, yang akan dijual pada harga runcit RM1.99 seliter bermula 30 Sept.

Pada Disember, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, rampasan RON95 yang diselewengkan mendominasi usaha penguatkuasaan bagi barangan terkawal dan bersubsidi pada 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, berkata sindiket penyeludupan telah mengalihkan tumpuan mereka kepada RON95 selepas kerajaan menyelaraskan subsidi diesel.

Di bawah inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu sah layak membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan, dengan pengesahan melalui MyKad.

Warga asing dan individu yang tidak layak perlu membayar pada kadar pasaran tanpa subsidi.

Rakyat Malaysia boleh menyemak kelayakan mereka untuk program ini di portal rasmi Budi Madani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.