PM mahu perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS dimuktamad

PM mahu perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS dimuktamad

Anwar Ibrahim berkata Malaysia sebagai negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan dagang.

Anwar Ibrahim Jamieson Greer
Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer dan delegasi sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-57. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan bagi Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memuktamadkan perjanjian perdagangan timbal balas yang sedang dirundingkan.

Beliau berkata, ini kerana rundingan itu akan turut dapat mendorong ketentuan arah tuju dasar serta perancangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Perkara tersebut diutarakan perdana menteri ketika menerima kunjungan hormat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer dan delegasinya hari ini sempena kehadiran mereka ke Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang sedang berlangsung di ibu negara.

“Dalam pertemuan ini kami bertukar-tukar pandangan berkaitan hubungan strategik kedua-dua negara serta Asean terutama dari perspektif perdagangan,” kata Anwar menerusi hantaran di laman sosial rasminya.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang mengamalkan ekonomi terbuka sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua rakan dagang yang seterusnya akan dapat mendorong pertumbuhan ekonomi domestik yang mapan.

Semalam, Greer hadir ke Mesyuarat Perundingan Menteri-menteri Ekonomi Asean-Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AEM-USTR) dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.