‘Air ajaib’: Tiada unsur mencurigakan

‘Air ajaib’: Tiada unsur mencurigakan

Bagaimanapun, PPD Klang masih menunggu laporan lanjut daripada Kementerian Kesihatan berhubung penapis air berkenaan.

kamalanathan
PUTRAJAYA: Tiada unsur yang mencurigakan dalam mesin penapis ‘air ajaib’!

Itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan berhubung mesin penapis ‘air ajaib’ di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Padamaran A, Klang di Selangor yang menjadi isu serta kebimbangan ibu bapa dan guru sekolah tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan menyatakan, pihaknya menerusi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Klang sudahpun menjalankan siasatan dan mendapati ia adalah mesin penapis biasa, menapis air biasa.

“Pihak kami mendapati tiada apa-apa yang luar biasa,” katanya dalam satu laporan di portal berita.

Malah, guru besar sekolah berkenaan yang dikatakan mempromosi ‘air ajaib’ itu juga disiasat.

“Mesin penapis berkenaan juga sudah dibuka dan didapati pada bahagian dalamnya hanya terdapat beberapa penapis sahaja dan tiada apa-apa yang meragukan ditemui.

“Namun, berikutan terdapat bantahan daripada guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), edaran air minuman berkenaan dihentikan serta-merta,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran laman portal baharu Anugerah 3K di kementeriannya.

Bagaimanapun, PPD Klang masih menunggu laporan lanjut daripada Kementerian Kesihatan berhubung penapis air berkenaan.

“Kita akan tentukan tindakan lanjut selepas menerima laporan Kementerian Kesihatan khususnya terhadap guru besar tersebut,” katanya.

Terdahulu, guru besar itu didakwa memberikan pelajar-pelajarnya meminum ‘air ajaib’ yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan agama untuk membolehkan mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan ibu bapa, sekali gus menjadi viral di laman Facebook.

Selain itu, guru besar sekolah itu juga didapati mempromosikan air tersebut dengan menggantung kain rentang di seluruh sekolah.

Turut diletakkan, mesin layan diri yang membekalkan ‘air ajaib’ bagi memudahkan pelajar membeli air berkenaan di dalam botol.

Pelajar bermasalah dan lemah dalam pelajaran pula dibawa ke bilik guru besar untuk direnjiskan ‘air ajaib’ itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.