Penghormatan terakhir buat Petrovski

Penghormatan terakhir buat Petrovski

Jenazah Petrovski dijadual diterbangkan ke Sydney jam 7 pagi esok untuk disemadikan di sana paling lewat Khamis atau Jumaat depan.

Marco Stefan Petrovski

MELAKA:
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bersama lebih 100 orang hadir di Hospital Melaka, Bukit Palah untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mendiang Marco Stefan Petrovski, penjaga gol muda Melaka United.

Turut hadir ialah ibu mendiang, Marie Lupang; isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Fadillah Abdullah; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; barisan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Melaka.

Selain itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Mohd Zan Mat Aris; Ketua Pasukan Melaka United, Ilija Spasojevic; Ketua Pasukan Piala Presiden Melaka United, Muhammad Afiq Azuan dan barisan pemain skuad Sang Kancil turut memberi penghormatan terakhir.

Petrovski, 18, yang tidak sedarkan diri hampir sebulan akibat dipanah petir pada 5 April lalu selepas menjalani latihan dengan pasukannya di Krubong, meninggal dunia di Hospital Pakar Putra kira-kira jam 4 petang, 1 Mei lalu.

Mendiang mewakili pasukan remaja Sydney Olympic FC di Australia sebelum menandatangani kontrak tiga tahun bersama Melaka United pada Januari lalu.

Mohd Yusoff ketika ditemui berkata, jenazah Petrovski akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang petang ini sebelum diterbangkan ke Sydney jam 7 pagi esok.

“Mendiang akan disemadikan di Sydney paling lewat Khamis atau Jumaat (minggu depan), kita telah uruskan semuanya di sana. Sememangnya amat menyedihkan buat seluruh pasukan Melaka United kehilangan pemain muda berbakat seperti beliau,” katanya.

Selesai majlis itu, Marie sempat berbual dengan Muhammad Afiq serta pemain-pemain muda Melaka United yang menjadi rakan karib anaknya serta menghadiahkan barangan bola sepak milik anaknya untuk kegunaan pemain-pemain muda pasukan itu.

Sementara itu, rakan sepasukan mendiang, Jasmir Mehat, 22, berkata Petrovski pernah memasang impian untuk menjadi penjaga gol utama Malaysia.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian itu pada 5 April lalu, anak muda itu berulang kali menyuarakan azamnya untuk menjadi pemain utama Harimau Malaysia.

Jelasnya, keazaman pemain kacukan Malaysia-Australia itu dapat dilihat dalam kesungguhannya bermain dan berlatih bagi meningkatkan mutu permainannya.

“Minggu terakhir bermain, berlatih dan tinggal serumah dengan dia itulah berulang kali dia cakap nak main untuk Malaysia, seminggu berulang-ulang dia cakap,” katanya sambil menambah Petrovski adalah seorang yang periang, senang rapat dengan orang sekeliling dan sentiasa mengambil berat rakan sepasukannya.

Muhammad Afiq pula berkata, mendiang tidak pernah menjadikan kekurangan dalam menguasai bahasa Melayu sebagai penghalang untuk rapat dengan rakan sepasukannya.

“Kami semua pemain, jurulatih dengan dia amat rapat seperti adik-beradik, dia berusaha belajar bahasa Melayu dan dalam padang dia berusaha cakap bahasa Melayu supaya rakan sepasukan senang faham permainan,” katanya.

Beliau berkata, Petrovski pernah menghadiahkan sepasang but kepada beliau dan memberikan semua wang bonus kemenangan kepada rakan sepasukan, bukti mendiang amat menghargai dan menyayangi rakan-rakannya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.