Pekerja Indonesia maut dipanah petir

Pekerja Indonesia maut dipanah petir

Ketika kejadian mangsa sedang berteduh di bawah pokok rambai sebelum dipanah petir kira-kira 1.30 tengah hari semalam.

Polis berkata, rakan mangsa ternampak cahaya yang disusuli bunyi kuat sebelum mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri di tepi pokok rambai. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja Indonesia maut dipercayai dipanah petir di sebuah ladang di Felda Jengka 19 di Maran semalam.

Mangsa berasal dari Lombok yang dikenali Kamarudin, 40, sedang berteduh di bawah pokok rambai ketika hujan pada 1.30 tengah hari Rabu.

Ketua Polis Maran Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata polis menerima maklumat daripada rakan mangsa yang mendapati lelaki itu terbaring tidak sedarkan diri, dipercayai meninggal dunia di bawah pokok.

Katanya, pemeriksaan luaran ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kesan lebam atau luka yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat, tetapi mendapati kesan terbakar pada pokok rambai dipercayai terkena panahan petir.

“Polis juga menemu bual seorang rakan mangsa bernama Nurul Ahwan yang memberitahu ketika kejadian mereka berdua berhenti rehat kerana hujan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata rakan mangsa beralih berteduh di bawah pokok sawit berdekatan, tetapi mangsa kekal di bawah pokok rambai.

Tidak lama kemudian, katanya, rakan itu ternampak cahaya yang disusuli bunyi kuat sebelum mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri di tepi pokok rambai.

“Mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.