1 maut, 2 cedera dipanah petir ketika pikat burung

1 maut, 2 cedera dipanah petir ketika pikat burung

Polis berkata, dua rakan mangsa cedera ringan terkena tempias panahan petir.

Polis berkata, mangsa maut dipanah petir ketika berlindung di bawah pokok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang maut, manakala dua lagi cedera ringan akibat dipanah petir ketika memikat burung di Bukit Payong, Marang semalam.

Mangsa maut ialah Mohd Hasan Mohd Rani, 38, dari Kampung Surau Haji Mat Zin, manakala Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dari Kampung Gemuroh dan Abdul Hisyam Muhamad dari Kampung Paya Resak cedera.

Ketua Polis Marang, Mohd Zain Mat Dris, berkata tiga sahabat itu dikatakan sedang memikat burung di tanah lapang pada 6 petang Khamis.

Katanya, semua mangsa mencari tempat berlindung akibat hujan lebat berserta ribut petir.

“Hasan dikatakan berlindung di bawah pokok berhampiran tempat mereka memikat burung sebelum disambar petir.

“Tempias panahan petir itu turut terkena dua rakannya yang berada di bawah pokok sama,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat, manakala dua mangsa cedera turut dirawat di hospital sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.