Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai menjawab desakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyekat anggota polis dan tentera yang berasal dari Semenanjung, termasuk ahli keluarga mereka, dari membuang undi di Sarawak.
“Kita kena benarkan mereka (anggota) mengundi sekiranya mereka telah mendaftar di stesen-stesen mengundi di Sarawak. Itu hak mereka.
“Kita tidak boleh halang mereka sekiranya mereka telah daftar secara rasmi.
“Cadangan DAP itu tidak masuk akal dan bercanggah dengan Akta Pilihan Raya,” kata Khalid.
Chieng Jen berkata di Kota Sentosa sahaja, jumlah pengundi tentera telah bertambah sebanyak 400 kepada 3,300 pengundi, dan daripada jumlah itu kira-kira 80% adalah dari Semenanjung.
Di Stakan, lebih 47% adalah pengundi Semenanjung.
Ketika ditanya perkembangan terkini proses kempen pilihan raya, Khalid berkata setakat ini sebanyak 74 laporan polis telah diterima dan polis telah membuka 64 kertas siasatan.
Khalid berkata tiada kes yang serius setakat ini.
“Hanya bendera dan poster terjatuh. Tidak ada apa yang menarik.”
Sarawak akan membuang undi pada 7 Mei ini.