Utusan 2.0 pasti tidak sama Utusan asal

Utusan 2.0 pasti tidak sama Utusan asal

Jenama tidak menjamin keaslian, bukan saja dari segi haluan politik kepartian dan idealisme perjuangan nasionalisme Melayu, tetapi juga etos dan budaya kewartawanan yang membentuk Utusan Melayu dan Utusan Malaysia asal.

Kehebatan sesebuah universiti terletak pada tiga perkara. Pertama, fakulti. Apa yang dimaksudkan dengan fakulti ialah ahli-ahli akademik atau pensyarahnya. Lebih hebat ahli akademik, lagi harum nama universitinya.

Kedua, perpustakaannya. Dalam kategori ini termasuk juga fasiliti yang ada pada universiti berkenaan seperti makmal dan balai cerap.

Perpustakaan universiti yang hebat mengandungi koleksi buku, dokumen dan tesis berharga untuk usaha penyelidikan. Koleksi ini diwarisi turun-temurun. Lagi tua sesebuah universiti, lagi kaya khazanah perpustakaannya.

Ketiga adalah mahasiswanya. Universiti mencorak dan dicorakkan oleh mahasiswanya.

Begitu juga dengan akhbar. Kehebatan sesebuah akhbar terletak pada tiga perkara. Pertama, redaksi atau sidang pengarang. Di dalamnya termasuklah editor, penyunting dan pemberita yang secara keseluruhan dipanggil wartawan.

Seseorang wartawan dibentuk bukan melalui kelulusan akademiknya, tetapi hasil latihan sambil bekerjanya. Wartawan seperti aktivis yang melalui latihan sepanjang kerjayanya. Jadi, pembimbingnya adalah editor yang merupakan wartawan kanan.

Pendidikan kewartawanan ini bersifat turun-temurun. Generasi wartawan terdahulu melatih pemberita muda. Bidang persuratkhabaran ini bersifat budaya yang diwariskan. Pengalaman dan memori menambah mutu penulisan.

Kedua, kehebatan sesebuah akhbar terletak pada perpustakaannya. Semakin lama perpustakaan akhbar itu wujud, semakin kaya khazanah di dalamnya.

Dalam perpustakaan akhbar, terdapat akhbar lama sama ada berbentuk keratan berita atau mikrofilem dan mikrofis, begitu juga buku dan majalah lama yang nadir. Ia merupakan pusat rujukan berharga bagi wartawan untuk penulisannya.

Walaupun dalam zaman siber hari ini, banyak maklumat masih tersimpan dalam perpustakaan yang tidak dimayakan. Hanya bergantung pada Wikipedia dan Google, seseorang akan menyeleweng fakta dan sejarah.

Ketiga, kehebatan sesebuah akhbar juga dibentuk pembaca. Minat dan kecenderungan pembaca yang membeli dan mengikut sesebuah akhbar setiap hari mencorak ke mana wartawan menulis berita dan rencananya. Pembaca dicorakkan dan mencorakkan wartawan.

Tetapi, kewartawanan akhbar sedang diancam teknologi maklumat dan melalui zaman kemerosotannya. Akhbar di seluruh dunia terancam, hanya cepat dan lambatnya sesuatu akhbar akan menemui ajalnya.

Kekuatan perniagaan syarikat akhbar serta suasana politik sesebuah negara melambatkan pengakhiran hayat mereka. Apabila pembaca akhbar berkurangan sehingga tidak boleh menampung perbelanjaan syarikat itu, maka pasti ia ditutup. Tiada pembaca, tiada akhbar.

Berakhirnya akhbar, maka tamatlah dunia kewartawanan yang asal dan tulen. Kewartawanan dalam bentuk media lain tidak akan sama dengan kewartawanan persuratkhabaran yang mempunyai etos dan budaya tersendiri. Tutupnya akhbar, maka berakhirlah perpustakaan yang mendokong kewartawanan akhbar itu.

Itulah yang berlaku pada Utusan Melayu Berhad apabila ia menghentikan operasi penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 9 Oktober lalu.

Utusan Malaysia diterbitkan pada 1967 dan Kosmo! pada 2004. Tetapi, wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! dididik serta dilatih secara turun-temurun oleh generasi terdahulu yang bekerja untuk Utusan Melayu bertulisan jawi.

Syarikat Utusan Melayu Pte Ltd ditubuhkan di Singapura pada 1938. Akhbar Utusan Melayu diterbitkan pada 1939 dan dihentikan penerbitannya pada 2003. Tetapi sejak 1967, peranan Utusan Melayu diambil alih Utusan Malaysia.

Dalam sejarahnya, bekas wartawan Utusan Melayu mencorakkan kewartawanan bahasa Malaysia di negara ini. Paling terkenal ialah Tokoh Wartawan Negara, A Samad Ismail, bekas pengarang Utusan Melayu yang memimpin Berita Harian hingga ia menjadi akhbar utama kini.

Subky Latif yang juga bekas wartawan Utusan Melayu juga pengasas akhbar Watan, Suara Rakyat, Mingguan Rakyat dan akhirnya Harakah. Banyak lagi tabloid dan majalah yang diasaskan bekas wartawan Utusan Melayu setelah mereka berhenti daripada syarikat itu.

Penutupan Utusan Melayu Berhad berpunca daripada banyak faktor, baik politik, kewartawanan, ekonomi, pengurusan perniagaan, sosial mahupun asakan teknologi maklumat.

Tetapi apa yang jelas, ia bukan saja menghentikan penerbitan akhbar Utusan Malaysia yang berusia 52 tahun dan Kosmo! yang berumur 15 tahun, malah ia menamatkan tradisi kewartawanan bahasa Melayu yang berusia 80 tahun sejak 1939.

Selepas ini, tidak ada lagi wartawan muda yang akan dapat didikan dan tunjuk ajar daripada editor kanan yang kemahirannya bertali arus daripada Bapa Kewartawanan Melayu, Rahim Kajai ketika mula menerajui Utusan Melayu pada 1938.

Ia juga menandakan berakhirnya operasi perkhidmatan perpustakaan Utusan Melayu yang menghimpunkan bahan sejak 1938 dan berkhidmat sebagai pusat sumber tujuh hari seminggu dari 9 pagi hingga 12 malam setiap hari selama berdekad lamanya.

Hakikat akhbar merupakan catatan sejarah harian dan akhbar ialah negara bercakap pada diri sendiri (newspaper is where the nation talk to itself) dan kewartawanan adalah sejarah yang ditulis dengan tergesa-gesa (journalism is history written in a hurry) juga terhenti.

Lebih penting lagi, berakhirnya penerbitan akhbar harian itu juga memutuskan hubungan pengalaman pembacaan khalayaknya.

Kebiasaan membaca akhbar adalah satu kemahiran yang digunakan setiap hari. Seseorang pembaca akhbar tegar melalui pengalaman pembacaannya setiap hari sejak dia pandai membaca, iaitu semasa kanak-kanak hinggalah tidak larat membaca pada hari tuanya.

Begitu juga peminat tegar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia. Ia berlaku dari generasi ke generasi sejak 1939. Apabila Utusan Malaysia dihentikan, tentulah pengalaman ini terputus.

Sememangnya laporan menyebut Utusan Malaysia akan diterbitkan semula, tetapi bukan lagi oleh Utusan Melayu Berhad yang sedang berdepan penyelesai hutang-piutang. Hartanya daripada bentuk bangunan hinggalah perpustakaan pasti dijual bagi mendapatkan wang untuk membayar pemiutang.

Nama Utusan Malaysia akan terus diterbitkan syarikat baru yang tiada kaitan dengan Utusan Melayu asal. Sebahagian kecil kakitangan asal Utusan Melayu, termasuk wartawannya mungkin ditawarkan untuk menjayakan Utusan Malaysia 2.0.

Tetapi, pastinya Utusan Malaysia 2.0 tidak sama dengan Utusan Malaysia asal. Jenama tidak menjamin keaslian, bukan saja dari segi haluan politik kepartian dan idealisme perjuangan nasionalisme Melayu, tetapi juga etos dan budaya kewartawanan yang membentuk Utusan Melayu dan Utusan Malaysia asal.

Namun begitu, kewartawanan akhbar juga berada di penghujungnya. Kewartawanan digital amat berbeza daripada kewartawanan akhbar, bukan saja dari segi teknologi, tetapi etos dan disiplin.

Persuratkhabaran Melayu berjaya menyumbang kepada kemerdekaan Tanah Melayu dan membina negara bangsa Malaysia, tetapi ia gagal berperanan menyediakan kewartawanan bebas yang merupakan salah satu tonggak sistem politik demokrasi disebabkan campur tangan parti berkuasa.

Tetapi, sama ada kewartawanan digital dapat memainkan peranan media bebas selaku salah satu tonggak dalam sistem demokrasi juga sukar diharapkan, lebih-lebih lagi ia terpaksa bergantung kepada dana pihak berkepentingan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.