Kekurangan bahan api paksa kenderaan kecemasan Gaza henti operasi

Kekurangan bahan api paksa kenderaan kecemasan Gaza henti operasi

Pertahanan Awam Gaza berkata ia kini beroperasi dengan hanya sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan penyelamat.

Pertahanan Awam Gaza mengisytiharkan pemberhentian operasi bagi kebanyakan kenderaan pertahanan awam di wilayah Gaza kerana bahan api tidak mencukupi. (Gambar AP)
BANDARAYA GAZA:
Pertahanan Awam Gaza pada Selasa memaklumkan kebanyakan kenderaan kecemasannya terpaksa menghentikan operasi kerana kekurangan bahan api, menimbulkan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan semakin teruk di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Kami mengisytiharkan pemberhentian operasi bagi kebanyakan kenderaan pertahanan awam di wilayah Gaza kerana bahan api tidak mencukupi. Ketika ini, kami beroperasi dengan hanya sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan penyelamat,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Pertahanan Awam Gaza menekankan kru kecemasan tidak dapat menjawab banyak panggilan penduduk mahupun sampai ke lokasi serangan Israel sejak pertengahan November.

“Ini menandakan malapetaka kemanusiaan yang bakal berlaku, menambah penderitaan rakyat kita di Gaza ketika pencerobohan Israel berterusan,” kata pasukan itu.

Ia turut memberi amaran krisis kekurangan bahan api, ditambah pemindahan paksa ribuan penduduk dari utara Gaza sangat menjejaskan keupayaan mereka menangani keperluan kemanusiaan kian meningkat di seluruh wilayah itu.

Sejak 5 Okt lalu, Israel melancarkan serangan darat di utara Gaza atas alasan untuk menghalang kumpulan pejuang Hamas daripada berkumpul semula.

Rakyat Palestin bagaimanapun menuduh Israel berusaha menduduki kawasan itu dan mengusir penduduknya secara paksa.

Israel terus menyekat penghantaran bahan api ke wilayah terkepung itu, hanya menyediakan jumlah minimum yang gagal memenuhi keperluan krisis kemanusiaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.