Diarah henti operasi, Maxim ‘bincang’ dengan pihak berkuasa

Diarah henti operasi, Maxim ‘bincang’ dengan pihak berkuasa

Syarikat e-panggilan diarah henti operasi mulai 24 Julai tegas ia sentiasa patuhi undang-undang negara.

Pada 2023, Maxim diserbu oleh pegawai Apad kerana membenarkan kenderaan e-panggilan beroperasi tanpa permit yang sah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Syarikat e-panggilan Maxim Malaysia sedang berbincang dengan pihak berkuasa pengangkutan susulan diarah menghentikan operasi mulai 24 Julai.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia akan terus beroperasi di seluruh negara ketika perbincangan itu sedang berjalan.

“Perbincangan bersama pihak berkuasa yang berkaitan sedang berlangsung untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera sambil mengekalkan reputasi dan kepercayaan yang telah dibina selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat yang diasaskan di Rusia itu menegaskan pihaknya mengutamakan keselamatan awam sejak mula beroperasi di negara ini pada 2019.

Katanya, pemandu yang mendaftar di aplikasinya menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh ‘pegawai khusus’ untuk memastikan garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Kementerian Pengangkutan dipatuhi.

“(Kami) akan sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya.”

Pada 2023, Maxim diserbu oleh pegawai Apad kerana membenarkan kenderaan beroperasi tanpa permit e-panggilan yang sah.

Minggu lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, Maxim dan sebuah lagi syarikat e-panggilan, inDrive, diarah menghentikan operasi mulai 24 Julai.

Beliau berkata, syarikat-syarikat terbabit boleh memfailkan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.