Dalam zaman serba moden ini, manusia semakin bijak khasnya penipu licik yang pandai melakukan “transformasi” terhadap taktik dan modus operandi mereka.
Kini, bermacam-macam penipuan dan skim pelaburan haram daripada emas, gores dan menang, mata wang asing, piramid dan tidak terkecuali skim cepat kaya yang sepatutnya dinamakan skim cepat miskin.
Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 56 syarikat penipuan berjaya mengaut RM500 juta daripada mangsa kegiatan pelaburan haram yang tumbuh bagai cendawan.
Menurut polis, salah seorang mangsa itu adalah ahli perniagaan berusia 43 tahun dari Melaka yang mengalami kerugian terbesar apabila melaburkan RM21.6 juta untuk membeli 187 kilogram jongkong emas dalam pelaburan yang kononnya berasaskan syariah.
RM21.6 juta adalah jumlah yang amat besar dan bagi kebanyakan orang, ia sekadar angan-angan yang tidak mungkin dicapai dalam seumur hidup.
Tetapi, kenapa masih ramai yang terjerumus dalam perangkap bermacam-macam skim pelaburan haram, meskipun laporan demi laporan terpampang dalam media cetak dan elektronik?
Faktor paling utama tak lain tak bukan ialah sifat tamak haloba dan tidak sabar manusia yang mahu wang beranak-pinak dalam sekelip mata.
Ada juga mangsa yang terlalu “bermurah hati” sehingga sanggup “menghadiahkan” hasil titik peluh mereka begitu saja.
Satu lagi faktor ialah pengaruh atau “testimoni” kawan-kawan yang telah mengecapi nikmat pelaburan mereka.
Penipu atau penjenayah dalam kegiatan pelaburan haram kebanyakan adalah kaki pancing yang amat penyabar orangnya.
Mula-mula, mereka akan melepaskan umpan ke dalam laut yang terbentang luas untuk menjerat mangsa.
Selepas diberikan peluang untuk menikmati hasil pelaburan mereka, mangsa yang termakan umpan akan mula “membuang” sejumlah wang ke dalam skim itu.
Ketika itulah jerung mula bertindak untuk membaham mangsanya sebelum menghilangkan diri.
Jika “bernasib baik”, mangsa akan ditinggalkan terkapai-kapai di tengah lautan dengan hanya kehilangan anggota badan.
Yang paling malang ialah mereka yang perlu mencari wang untuk membayar balik pinjaman daripada keluarga atau kawan-kawan.
Jadi, sedarlah wahai manusia kerana hakikatnya tidak ada makanan percuma di dunia ini, yang ada cumalah usaha gigih kita untuk mencari sesuap nasi dan masih boleh menyimpan demi kesenangan di hari tua.
Tabiat menabung atau melabur patut digalakkan, tetapi pastikan kita menyimpan di saluran yang halal dan sah, yakni syarikat pelaburan yang mendapat kelulusan Bank Negara – biar lambat asal selamat.