
Beliau berkata, pendekatan pendidikan pelbagai bahasa bukan untuk menafikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sebaliknya bagi memperkukuh perpaduan nasional serta menyediakan peluang saksama kepada semua murid menguasai pelbagai bahasa.
Menurutnya, keupayaan menguasai lebih satu bahasa aset penting dalam menghadapi cabaran global dan meningkatkan daya saing generasi muda, tanpa menjejaskan asas identiti nasional.
“Kita tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan dalam soal bahasa. Keutamaan kita adalah meningkatkan mutu kehidupan dan menjamin masa depan anak-anak kita.
“Mereka perlu bersedia untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan, bukan saja dalam negara, malah di rantau Asia dan peringkat global. Sebab itu penguasaan bahasa, sains, matematik, digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu diterapkan sejak peringkat awal persekolahan.”
Katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting di sini. Turut hadir Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kualiti pendidikan perlu dilihat agenda nasional melangkaui perbezaan kaum, dengan semua pihak memfokuskan penambahbaikan sekolah, latihan guru serta penyediaan kemudahan mencukupi.
Tegasnya, sebarang perbezaan pandangan berkaitan pendidikan boleh dibincangkan secara matang, namun fokus utama tidak patut terpesong daripada matlamat menjadikan pendidikan alat penyatuan dan pemacu kemajuan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan RM13.5 juta bagi pelaksanaan projek penambahbaikan serta penyediaan kemudahan tambahan di SJKC Perting, dengan RM300,000 diluluskan segera bagi membolehkan kerja awal dimulakan.
Katanya, peruntukan itu disalurkan sebagai sebahagian persediaan bagi kemasukan murid prasekolah berumur lima tahun dan murid Tahun 1 berumur enam tahun (secara sukarela) bermula tahun depan.
“Saya berharap semua pihak, termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat terus memberikan sokongan agar sekolah ini dapat menjadi contoh kepada sekolah lain.”
Untuk rekod, peruntukan itu membabitkan pembinaan sebuah bangunan tambahan enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta satu bilik darjah Prasekolah Integrasi di SJKC Perting.