Jabatan kesihatan mohon maaf isu kad denggi bahasa Cina

Jabatan kesihatan mohon maaf isu kad denggi bahasa Cina

Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelaskan berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa yang tidak disengajakan.

kad KKM
Video klip tular di TikTok memaparkan aduan seorang pengguna media sosial mengenai penggunaan tulisan Cina pada kad pemantauan pesakit di klinik kesihatan.
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memohon maaf berhubung isu tular kad pemantauan denggi bahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak, yang disifatkan kesilapan tidak disengajakan.

Katanya, siasatan mendapati insiden berlaku semalam melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir bagi mendapatkan rawatan kerana disyaki demam denggi.

Menurutnya, kad pemantauan pesakit digunakan secara rasmi di fasiliti berkenaan adalah dalam bahasa Melayu.

“Namun, bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian.

“Dalam kes ini, berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, jabatan itu berkata pegawai perubatan bertugas tetap memberikan penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan kepada pesakit dalam bahasa Melayu, termasuk membuat catatan bertulis pada kad tersebut.

Katanya, langkah penambahbaikan serta-merta diambil bagi memastikan pemberian kad pemantauan selepas ini dilakukan lebih teliti susulan insiden itu.

Jabatan itu turut menegaskan komitmennya mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan, di samping memastikan perkhidmatan diberikan kekal berkualiti, selamat, dan mesra rakyat.

Terdahulu, tular satu klip video di TikTok memaparkan aduan seorang pengguna media sosial mengenai penggunaan tulisan Cina pada kad pemantauan pesakit di klinik berkenaan.

Menerusi video berdurasi 1 minit 27 saat dimuat naik pemilik akaun @shah.faza itu, dia turut menasihati orang ramai tidak mempolitikkan isu tersebut memandangkan sektor kesihatan melibatkan kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.