Lebih 200,000 warga asing disyaki terlibat sindiket tipu tinggalkan Kemboja

Lebih 200,000 warga asing disyaki terlibat sindiket tipu tinggalkan Kemboja

Beberapa ketua sindiket juga masih dalam siasatan aktif selepas melarikan diri dari pangkalan mereka.

Sejak Jun tahun lepas, pasukan petugas bersama telah menyerbu kira-kira 2,500 lokasi dan menumpaskan kira-kira 200 kes utama penipuan dalam talian di Kemboja. (Gambar Envato Elements)
ISTANBUL:
Lebih 210,000 warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan telah meninggalkan Kemboja secara sukarela sejak operasi membanteras penipuan siber dipergiat pada Jun tahun lepas, menurut anggaran pihak berkuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beberapa ketua sindiket juga masih dalam siasatan aktif selepas melarikan diri dari pangkalan mereka, menurut Kementerian Penerangan pada Rabu.

Sejak Jun tahun lepas, pasukan petugas bersama telah menyerbu kira-kira 2,500 lokasi dan menumpaskan kira-kira 200 kes utama penipuan dalam talian.

Lebih 46,000 unit peralatan teknologi dirampas dalam operasi itu manakala lebih 8,000 warga asing telah diproses untuk dihantar pulang.

Mahkamah Kemboja turut memproses kes terhadap lebih 500 individu, termasuk ketua sindiket berprofil tinggi serta sekutu mereka.

Ramai mangsa yang ‘diperdagangkan ke dalam ‘kilang penipuan’ dan dipaksa bekerja untuk rangkaian jenayah’ berjaya diselamatkan dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa.

Phnom Penh juga sedang menggubal undang-undang berkaitan pembanterasan jenayah siber, yang bertujuan mewujudkan rangka kerja dengan ‘hukuman berat bagi mencegah aktiviti digital haram pada masa depan serta memastikan persekitaran digital yang selamat.’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.