Populasi Malaysia cecah 34.3 juta suku keempat 2025

Populasi Malaysia cecah 34.3 juta suku keempat 2025

Komposisi penduduk warganegara dan bukan warganegara pada ST4 2025 kekal pada 90.1% dan 9.9%.

public
Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, menurut DOSM.
PUTRAJAYA:
Penduduk Malaysia dianggarkan 34.3 juta berbanding 34.1 juta pada suku tahun keempat 2024 (ST4 2024), pertumbuhan yang lebih perlahan dengan 0.6% berbanding 1.2%.

Ketua Perangkawan Uzir Mahidin berkata komposisi penduduk warganegara dan bukan warganegara pada suku tahun keempat 2025 (ST4 2025) masing-masing kekal pada 90.1% dan 9.9% berbanding ST4 2024.

“Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.9 juta, dan penduduk perempuan meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta.

“Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 102,” menurut kenyataan.

Uzir berkata komposisi populasi warga emas berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 7.8% kepada 8%.

Sementara itu, populasi muda (0 hingga 14 tahun) menurun daripada 21.9% kepada 21.6%, manakala populasi berumur bekerja (15 hingga 64 tahun) meningkat sedikit daripada 70.3% kepada 70.4%.

Mengikut etnik, Uzir berkata orang Melayu membentuk 58.2% daripada jumlah populasi, diikuti Cina (22.2%), Bumiputera lain (12.3%) dan India (6.5%), tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.

Uzir berkata bilangan kelahiran hidup terus merekodkan penurunan sebanyak 5.4% kepada 99,353 kelahiran berbanding 105,027 kelahiran pada ST4 2024.

Bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 51,340 kelahiran berbanding 48,013 kelahiran, dengan nisbah jantina ketika lahir ialah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 18,517 kelahiran atau 18.6%, manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Labuan dengan 331 kelahiran atau 0.3%.

Uzir berkata ibu berusia 30 hingga 39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 49,432 kelahiran, iaitu 49.8%, diikuti oleh ibu berusia 20 hinggan 29 tahun (43.4%), 40 tahun dan lebih (4.7%) dan kurang daripada 20 tahun (2.1%).

“Secara purata, seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 45 bayi setiap jam dan 1,080 bayi sehari pada suku tahun keempat 2025,” katanya.

Sementara itu, Uzir berkata sebanyak 51,077 kematian direkodkan pada ST4 2025, meningkat 1.3% berbanding SK4 2024 (50,415 kematian).

Bilangan kematian lelaki ialah 29,358, manakala kematian bagi perempuan sebanyak 21,719, menyaksikan nisbah jantina kematian ialah 135 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 7,990 kematian, manakala Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 82 kematian.

“Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 35,788 kematian atau 70.1%, diikuti 41 hingga 59 tahun (20.7%) 15 hingga 40 tahun (7.3%) dan 0 hingga 14 tahun (1.9%).

“Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, 23 kematian direkodkan setiap jam dan 555 kematian sehari pada suku tahun keempat 2025,” katanya.

Uzir berkata dunia ketika ini menyaksikan trend penurunan global dalam kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah (TFR), dan semakin banyak negara mencatatkan TFR di bawah paras penggantian, iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.

Beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, China, Rusia dan Perancis mencatatkan TFR di bawah paras penggantian yang membawa kepada kebimbangan terhadap isu penuaan penduduk, penurunan penduduk dan tenaga kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.