Organisasi bantuan beri amaran lebih banyak kematian di Sudan

Organisasi bantuan beri amaran lebih banyak kematian di Sudan

Majlis Pelarian Norway berkata kumpulan bersenjata memutuskan semua laluan bekalan ke bandar Kadugli selama berminggu menyebabkan kelaparan berleluasa.

Jonglei state
Ketua Majlis Pelarian Norway Jan Egeland berkata kumpulan militia sedang mengepung bandar Kadugli dan Dalang, yang juga dikenali Dilling. (Gambar AFP)
NAIROBI:
Ketua Majlis Pelarian Norway (NRC) memberi amaran ribuan orang berdepan risiko kematian di wilayah Kordofan Selatan, Sudan, hanya beberapa bulan selepas kejatuhan bandar El Fasher di Darfur, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Susulan lawatan ke wilayah itu, Jan Egeland, berkata kumpulan militia sedang mengepung bandar Kadugli dan Dalang, yang juga dikenali Dilling.

“Ini saat kritikal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

“Kami tahu dengan tepat ke mana arahnya jika dunia tidak mengendahkan perkara ini sekali lagi. Sejarah akan menghakimi kita, jika kita membiarkan orang awam di Sudan sekali lagi berdepan keganasan dan penderitaan tidak berkesudahan.”

Beliau berkata, khasnya di Kadugli, di mana kumpulan bersenjata Rapid Support Forces (RSF) memutuskan semua laluan bekalan ke bandar itu selama berminggu-minggu menyebabkan kelaparan kini berleluasa.

Buat masa ini, jumlah penduduk di bandar terkepung itu tidak diketahui.

Lebih 160,000 orang tinggal di dua kem pelarian di Pergunungan Nuba di Kordofan Selatan, yang dilawati Egeland minggu lalu. Hampir semuanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak memandangkan golongan lelaki tidak dibenar meninggalkan bandar dikepung itu.

Rundingan dengan RSF untuk membawa konvoi makanan ke Kadugli gagal.

Egeland menyifatkan ia perlumbaan dengan masa disebabkan kekurangan dana dan musim hujan akan bermula Mei nanti.

Terdapat kira-kira 12 juta pelarian di Sudan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Bagaimanapun, bandar terkepung itu dilihat masih mempunyai harapan apabila jurucakap tentera melaporkan pasukan kerajaan berjaya memecahkan kepungan di Kadugli dan Dalang.

Aktivis Sudan turut mengesahkan ketibaan tentera kerajaan di dua bandar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.