Pegawai perubatan lapor kematian akibat virus di Semenanjung Gaza

Pegawai perubatan lapor kematian akibat virus di Semenanjung Gaza

Jangkitan virus disertai gejala serius termasuk demam panas, sakit sendi teruk dan sakit kepala boleh menyebabkan radang paru-paru teruk serta kematian, dalam sesetengah kes.

Penduduk memeriksa khemah mereka yang didirikan di tepi pantai di barat Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. (Gambar EPA Images)
GAZA:
Pegawai perubatan di Semenanjung Gaza memaklumkan pihak berkuasa kesihatan sedang merekodkan kematian setiap hari dalam kalangan penduduk akibat penularan sejenis virus di wilayah pesisir pantai itu yang dihuni lebih dua juta orang, lapor Xinhua.

Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandaraya Gaza, Mohammed Abu Salmiya, memberitahu stesen radio rasmi Voice of Palestine, “virus yang menular di wilayah itu sejak awal musim sejuk menyebabkan kematian harian, bukan saja dalam kalangan warga emas dan penghidap penyakit kronik, tetapi juga wanita hamil dan kanak-kanak.”

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kematian atau jenis virus secara terperinci, namun memaklumkan kematian seorang doktor dan gadis berusia 18 tahun beberapa hari lalu akibat komplikasi jangkitan itu.

Jelasnya, jangkitan virus itu disertai gejala serius termasuk demam panas, sakit sendi teruk dan sakit kepala yang boleh menyebabkan radang paru-paru teruk serta kematian, dalam sesetengah kes.

“Tidak kira ia strain koronavirus bermutasi atau influenza bermusim, masalahnya ialah kami tiada ujian makmal untuk mengenal pasti puncanya.”

Katanya, virus itu “menjadi ancaman sebenar kepada penduduk” dan tempoh pengeraman kini meningkat kira-kira dua minggu berbanding seminggu sebelum ini.

“Pasukan perubatan di Semenanjung Gaza sedang menyaksikan peningkatan berterusan kes sedemikian di jabatan kecemasan hospital, sekali gus menambah beban sistem kesihatan sudah tenat dan serba kekurangan.

“Kemerosotan imuniti penduduk akibat kebuluran melanda wilayah itu serta kehidupan dalam khemah usang tidak mampu melindungi mereka daripada cuaca sejuk memburukkan lagi keadaan yang sememangnya sudah tenat.”

Sementara itu, ahli pulmonologi di Semenanjung Gaza, Mohammed Abdel Moneim, berkata virus itu “bukanlah baharu, tetapi kini lebih ganas berbanding sebelumnya, dan gejala paling lazim ialah demam panas, sesak nafas, batuk teruk dan sakit tekak”.

Beliau dalam kenyataan berkata, pasukan perubatan boleh mengenal pasti individu dijangkiti virus itu melalui imbasan sinar-x menunjukkan keradangan teruk pada paru-paru, yang boleh membawa maut.

Katanya, penduduk hidup bersesak-sesak di kem yang menjadi perlindungan sementara dan langkah perlindungan diri seperti pemakaian pelitup muka, penjagaan kebersihan serta langkah penyahjangkitan tidak dapat diamalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.