
Yusof Senkonam, 60, guru agama dari Satun, Thailand didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, di persimpangan lampu isyarat RTC Napoh, Jalan Alor Setar-Bukit Kayu Hitam di sini, pada 10.30 malam 15 Jan lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Asyiqin Hedzir, manakala lelaki itu diwakili peguam Zabidah Ahmad.
Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan memerintahkan lelaki itu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, selain lesen memandu di Malaysia digantung.
Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mac ini.