Techno-Huffaz: Gabungan keimanan, kemahiran teknikal

Techno-Huffaz: Gabungan keimanan, kemahiran teknikal

Inisiatif kerajaan gabungkan integrasi pendidikan agama dengan laluan akademik arus perdana dan profesional bagi perluas pilihan kerjaya.

Pelajar Techno-Huffaz di majlis khatam al-Quran di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
PETALING JAYA:
Masa depan golongan huffaz muda atau pelajar yang menghafaz al-Quran dalam ekonomi yang semakin dipacu kemahiran tinggi sering menjadi persoalan. Namun, program Techno-Huffaz yang diperkenalkan kerajaan adalah jawapan kepada persoalan itu.

Sebagai sebahagian inisiatif mengintegrasikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan pendidikan tahfiz, program itu merapatkan jurang antara pendidikan agama dan kebolehpasaran pekerjaan.

Inisiatif itu diperkenalkan selepas mengenal pasti pendedahan teknikal yang terhad dalam kalangan huffaz.

Kali pertama dilancarkan pada 2017, ia membolehkan pelajar tahfiz mendaftar dalam kursus peringkat diploma seperti kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik dan perniagaan di politeknik terpilih.

Beroperasi bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, inisiatif itu disokong Kementerian Pendidikan Tinggi dan selaras Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2016, yang bertujuan mengintegrasikan pendidikan agama dengan laluan akademik dan profesional.

Muhammad Luqman
Muhammad Luqman.

Pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Luqman, berkata program itu beri tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal dan hafazan al-Quran, keseimbangan penting untuk melahirkan graduan berkeupayaan dan boleh bekerja.

Walaupun program ini masih berskala kecil, impaknya amat menggalakkan.

“Kami menerima sambutan positif daripada masyarakat. Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, lebih 100 permohonan diterima untuk program ini,” kata Luqman kepada FMT.

Mengejar kecemerlangan dua bidang

Bagi pelajar Techno-Huffaz, Nur Ilham Sabrina, yang mengikuti diploma pengajian perniagaan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, program itu mempunyai kelebihan unik kerana membolehkan pelajar berkembang dalam dua bidang berbeza secara serentak.

Nur Ilham Sabrina
Nur Ilham Sabrina.

“Sebagai pelajar Techno-Huffaz, saya boleh menyumbang secara lebih holistik. Saya boleh terlibat dalam bidang perniagaan untuk membantu memajukan ekonomi di samping mengajar masyarakat asas al-Quran,” katanya.

Pelajar kejuruteraan mekanikal, Nuh Hambali, pula percaya penguasaan kedua-dua disiplin agama dan teknikal menjadikan mereka lebih serba boleh.

“Sebagai contoh, saya boleh bekerja dalam bidang teknikal pada waktu siang dan memikul tanggungjawab agama, seperti menjadi imam tarawih atau rawatib, pada waktu malam,” katanya.

Hambali turut berharap pelajar Techno-Huffaz sepertinya diberikan peluang lebih luas dalam industri tanpa dipandang rendah.

Muhammad Nuh Hambali
Muhammad Nuh Hambali.

“Saya berharap masyarakat tidak pandang rendah pelajar tahfiz. Kami memperkukuh identiti dalam bidang kerohanian seperti al-Quran dan agama, sambil pada masa sama membangunkan pengetahuan teknikal serta kemahiran hidup yang penting,” katanya.

Ketika Malaysia terus memperkasakan tenaga kerja berkemahiran, program seperti Techno-Huffaz membuktikan keimanan dan kemahiran moden boleh bergerak seiring, membentuk generasi yang menyumbang dengan tangan yang berkemampuan dan hati berteraskan nilai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.