
Wakil rakyat Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata ini memandangkan keputusan meneruskan rancangan menerima murid seawal usia enam tahun ke Tahun 1 di sebalik kritikan pelbagai pihak.
Katanya, langkah itu dijangka membabitkan pertambahan 440,000 kanak-kanak berusia enam tahun, tambahan sekali ganda kepada murid tujuh tahun yang diambil mengikut dasar sedia ada.
Pengerusi portfolio pendidikan PN itu berkata, kritikan terhadap dasar berkenaan dilatari kebimbangan guru yang tidak mencukupi dengan laporan lebih 19,000 pendidik bersara sejak 2022 selain keperluan mengisi 5,000 jawatan setiap tahun.

“Kita juga sudah pun kekurangan bilik darjah kerana idealnya semua sekolah berjalan secara satu sesi. Tetapi, kerana bilik darjah tidak mencukupi, maka banyak sekolah berjalan secara dua sesi.
“Sekiranya purata bilik darjah ada 35 pelajar, maka dengan penambahan 440,000 ini, lebih 12,500 bilik darjah tambahan diperlukan.
“Soalnya, sempatkah guru dan bilik darjah yang mencukupi disediakan dalam masa sesingkat ini?” tulisnya di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Sehubungan itu, bekas menteri luar berkenaan menggesa kerajaan menangguhkan pengambilan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 sehingga Kementerian Pendidikan (KPM) benar-benar bersedia dari segi guru, bilik darjah, kantin, bilik guru, perpustakaan dan kemudahan sukan.
Jelas Saifuddin, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia (JKPK) dipengerusikannya turut menyuarakan cadangan sama.
“Ini supaya KPM mengadakan libat urus yang mendalam dengan JKPK dan pihak-pihak berkepentingan contohnya ibu bapa, peluang untuk bersedia dari segi guru, bilik darjah dan prasarana berkaitan.
“Jangan ulangi kesilapan-kesilapan lampau apabila sesuatu dasar pendidikan dilaksana dengan terburu-buru. Jadi, tangguhlah!” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengambilan murid Tahun 1 dari kanak-kanak seawal enam tahun ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 pada 20 Jan lalu.
Pada mulanya pengambilan secara pilihan itu dirancang dibuat menerusi ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan.
Namun, Anwar pada Selasa mengumumkan saringan itu tidak akan dilaksanakan selepas meneliti termasuk kebimbangan pelaksanaannya boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada 21 Jan lalu memberi jaminan kapasiti sekolah, kemudahan sedia ada serta bilangan guru mencukupi bagi menampung peningkatan murid tahun depan.