Pendaftaran Tahun 1 2027 dibuka 15 Feb depan, tanpa ujian saringan

Pendaftaran Tahun 1 2027 dibuka 15 Feb depan, tanpa ujian saringan

Ia terbuka kepada dua kohort termasuk kanak-kanak berusia enam tahun pada 2027.

Anwar Ibrahim semalam umum kerajaan bersetuju tidak laksana ujian saringan diagnostik bagi tentu kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendaftaran Tahun 1 bagi sesi akademik 2027 termasuk bagi murid berusia seawal enam tahun akan dibuka mulai 15 Feb hingga 31 Mac.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata pendaftaran dibuat secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.

KPM menjelaskan pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia dalam dua kohort umur iaitu:

  • Enam tahun (5+): lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021
  • Tujuh tahun (6+): lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021

“Keputusan ini selaras dengan dasar kerajaan yang membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) memasuki Tahun 1 secara sukarela mulai 2027 tanpa perlu menduduki ujian saringan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 tidak dilaksanakan.

Menurutnya, perkara itu telah diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.