Video jelik aniaya gelandangan, pempengaruh didenda RM40,000

Video jelik aniaya gelandangan, pempengaruh didenda RM40,000

Pempengaruh media sosial mengaku salah muat naik video beri sisa makanan kepada gelandangan.

Tang Sie Luk mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan Sazlina Safie hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pempengaruh media sosial didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran video jelik di media sosial memaparkan seorang gelandangan diberikan nasi bersama tulang ayam.

Tang Sie Luk, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie, lapor Bernama.

Dia turut diperintah dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Tang membayar denda tersebut.

Lelaki itu didakwa menggunakan Instagram secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi, iaitu video yang jelik melampau dengan niat menganiayai mana-mana orang.

Hantaran itu dilihat di Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu, Jalan Haji Ahmad, kira-kira 12 tengah hari pada 4 Ogos 2025.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Tan yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia sudah insaf atas kesalahannya selain telah memohon maaf, justeru merayu denda minimum.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fadhli Ab Wahab bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi juga masyarakat.

“Mangsa sendiri telah mengatakan terasa dihina dan marah akibat perbuatan OKS. Perbuatan memberi sisa makanan (sisa ayam) kepada mangsa bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan dalam konteks rakaman video bagi kandungan media sosial, yang jelas menunjukkan unsur eksploitasi penderitaan manusia demi hiburan, perhatian dan tontonan awam,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Tan yang juga dilihat di dalam video tular itu bersama beberapa individu lain memberi tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur dikali lima di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru.

Dia turut mengesahkan kandungan itu dimuat naik menggunakan peranti komunikasi miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.