
Beliau berkata di bawah rangka kerja Anti-Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT), MDD merujuk kepada due diligence pelanggan (CDD) yang dipermudah dan perlu dilaksanakan sebelum hubungan perbankan diwujudkan atau transaksi dilaksanakan.
Menurutnya, bagi individu dan pemilik benefisial, bank perlu mendapatkan dokumen pengenalan dan syarikat, menyimpan rekod transaksi termasuk korespondensi perniagaan, serta mengekalkan analisis seperti penilaian risiko pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan dan semakan laporan transaksi mencurigakan.
“Semua rekod perlu disimpan sekurang-kurangnya enam tahun dan dalam bentuk yang boleh diterima sebagai bukti bagi tujuan pengawalseliaan,” katanya dalam kenyataan.
Shamesh menjelaskan MDD hanya boleh digunakan bagi pelanggan berisiko rendah, termasuk transaksi rutin atau urusan dengan institusi kewangan dan penyedia pembayaran bukan bank yang mempunyai struktur pemilikan ringkas serta tiada aktiviti luar biasa.
Namun, katanya, MDD tidak boleh digunakan jika pelanggan atau transaksi berisiko tinggi, melibatkan individu berprofil politik (PEP), atau pemilik sebenar tidak dapat dikenal pasti dengan jelas, selain bank perlu merekod dan mewajarkan penggunaan MDD.
Beliau turut merujuk tindakan BNM terhadap MBSB Bank Berhad yang didenda RM560,000 tahun lalu kerana gagal mengemukakan laporan transaksi mencurigakan walaupun terdapat petunjuk dalaman.
Selain tindakan pengawalseliaan, Shamesh berkata kegagalan due diligence juga boleh mendedahkan bank kepada liabiliti sivil, termasuk dalam kes PAX Investments Limited v Standard Chartered Bank Malaysia Berhad [2025] CLJU 2902, di mana mahkamah memutuskan bank mempunyai kewajipan berhati-hati dan gagal bertindak dengan wajar dalam memantau akaun.
“Keputusan ini menunjukkan kelemahan pemantauan dan kegagalan due diligence bukan sahaja membawa kepada tindakan BNM, malah boleh mengakibatkan tanggungjawab sivil terhadap kerugian pelanggan,” katanya.