Kes fitnah kaitkan Ismail dengan serangan terhadap anak Rafizi kini NFA

Kes fitnah kaitkan Ismail dengan serangan terhadap anak Rafizi kini NFA

Keputusan AGC berdasarkan analisis SKMM yang tidak dapat kaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun FB yang disiasat.

ismail sabri yaakob
Pihak berkuasa sebelum ini menyiasat fitnah di Facebook yang mengaitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap anak Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
Kes fitnah di Facebook yang mengaitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, telah dikelaskan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’

Kementerian Dalam Negara berkata keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu berdasarkan laporan analisis profil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun berkenaan, serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun yang disiasat.

Kertas siasatan kes berkenaan dibuka bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada AGC pada 23 Dis 2025 dan pihak AGC telah memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘No Further Action’ (NFA),” katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.

KDN menjawab pertanyaan Rafizi berhubung status siasatan pihak berkuasa terhadap satu laporan yang dibuat setiausaha akhbar kepada Ismail, pada 18 Ogos tahun lepas, berhubung fitnah itu.

Anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 2 petang pada 13 Ogos tahun lalu, dengan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua lelaki mengekori kereta isterinya menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian.

Beberapa hari kemudian, Ismail membuat laporan polis dan kepada SKMM terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan tersebut.

Rafizi turut menafikan dakwaan mengaitkan Ismail dengan serangan terhadap anaknya.

Pada 30 Jan lepas, Rafizi berkata beliau bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk meminta siasatan kes serangan ke atas anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata setakat ini beliau masih mempercayai proses siasatan sedang berjalan namun ia telah melalui tempoh panjang sejak Ogos tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.