
SKMM berkata, perintah itu diberikan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Noor Hayati Mat, menerusi prosiding dalam talian semalam.
“Perintah berkenaan direkodkan dalam saman fitnah difailkan SKMM terhadap Hunter susulan penerbitan kenyataan berunsur fitnah olehnya terhadap SKMM dan pihak berkaitan melalui platform dalam taliannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, perintah persetujuan itu direkodkan selepas Hunter memohon maaf secara terbuka dan menarik balik penerbitan berunsur fitnah di platform dalam taliannya.
Penarikan balik itu merangkumi beberapa artikel diterbitkan antara April dan November 2024 di laman Substack miliknya serta platform lain yang dianggap palsu dan memfitnah SKMM.
Sebelum ini, SKMM membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung penerbitan itu sambil mendakwa ia mengandungi tuduhan serius serta tidak berasas yang mengelirukan orang awam dan merosakkan reputasinya.
Hari ini, SKMM berkata, Hunter dalam perintah persetujuan itu mengesahkan semula janjinya tidak akan mengulangi penerbitan kenyataan dipertikaikan atau kandungan serupa berhubung SKMM dan pihak berkaitan.
“SKMM memandang serius sebarang kenyataan palsu serta fitnah, dan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi integriti SKMM serta memastikan akauntabiliti berhubung penerbitan melulu dan tidak bertanggungjawab sedemikian.”
Dalam prosiding hari ini, SKMM diwakili Selva Mookiah dan Nurshafiqa Balqish Jaffri, manakala Hunter mewakili dirinya.
Pada 16 Okt 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Hunter bertanggungjawab atas fitnah dalam saman sivil difailkan SKMM.
Beberapa minggu sebelum itu, Hunter ditahan pihak berkuasa Thailand ketika bersedia meninggalkan negara itu untuk ke Hong Kong.