
Menerusi hantaran di Facebook, Hannah berkata perbincangan diadakan sempena kunjungan hormat Pengerusi SKMM Mohamed Salim Fateh Din ke pejabatnya hari ini, antara lain menyentuh tentang peranan teknologi 5G.
Hannah berkata, dalam pertemuan itu beliau menegaskan kepentingan teknologi digital, khususnya rangkaian 5G sebagai tulang belakang kepada dasar awam meliputi aspek keselamatan, kesiapsiagaan bencana dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, perbincangan turut menyentuh keperluan integrasi teknologi pintar bagi mempercepat tindak balas kecemasan, meningkatkan keselamatan jalan raya melalui kerjasama strategik bersama polis, perlindungan golongan warga emas serta memastikan kesinambungan komunikasi di terowong transit aliran massa (MRT), transit aliran ringan (LRT) dan lebuh raya.
“Bandar pintar bukan tentang siapa paling canggih. Bandar pintar ialah siapa paling bersedia melindungi rakyat ketika detik paling genting.
“Inilah komitmen Kuala Lumpur, iaitu memastikan teknologi bukan sekadar memudahkan kehidupan harian, tetapi menjadi perisai keselamatan warga pada saat paling kritikal,” katanya.