
Ramzi Kamil mendakwa Na’im “memaksa” jemaah haji divaksin sebelum berlepas ke Arab Saudi dan vaksin itu mengandungi unsur “haram”.
Ramzi yang dikenali dengan nama “Rembo Melaka” di Facebook, turut mendakwa sesetengah jemaah enggan menunaikan haji kerana dikehendaki mendapatkan vaksin.
Ini bercanggah dengan dakwaan Na’im bahawa jemaah terbabit tidak boleh ke Makkah kerana menghadapi kekangan kewangan.
Naim kemudiannya membuat laporan polis mendakwa kenyataan itu berniat jahat, mencemarkan reputasi dan kredibilitinya sebagai menteri hal ehwal agama.
Dalam pernyataan tuntutannya, Na’im berkata, kerajaan Saudi menguatkuasakan dasar semua jemaah ingin menunaikan haji perlu divaksin terlebih dahulu.
Justeru, Na’im menyifatkan dakwaan Ramzi bahawa itu adalah syarat baharunya (Na’im) sebagai tidak berasas dan memfitnah.
Khamis lalu, Ramzi memohon maaf tanpa syarat di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan diperintah menerbitkan permohonan maaf itu di akaun media sosialnya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Helmi Hamzah, turut mengarahkannya memadam catatan menyinggung perasaan itu dalam tempoh 24 jam dan membayar kos RM5,000 dalam seminggu.
Na’im diwakili Aslam Akberdin dan Ahmad Redza Akberdin, manakala Nur Farina Ahmad mewakili Ramzi.