
Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata dalam serbuan pada 9 malam itu, pihaknya menahan sepasang suami isteri warga China masing-masing berusia 46 dan 39 tahun di ruang tamu kediaman berkenaan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal di atas meja ruang tamu telah menjumpai satu paket plastik cerah berisi dadah jenis ketamin seberat 34.90 gram (g).
“Pemeriksaan seterusnya di sebuah bilik kedua telah membawa kepada penemuan sebuah makmal pemprosesan dadah serta bahan-bahan disyaki untuk memproses, membungkus dan menyimpan pelbagai jenis dadah bagi tujuan pengedaran,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul hari ini.
Ahmad Sukarno berkata antara dadah yang dirampas di bilik tersebut adalah ketamin seberat 1,878.90 g, methamphetamine (380 g), kokain (62 g) dan serbuk MDMA (7,151 g).
“Turut ditemukan di dalam almari baju ialah 10 botol plastik mengandungi cecair disyaki dadah MDMA seberat 37,445 g, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM164,496,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas, dengan menyewa premis mewah itu pada harga RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bagi tujuan pemprosesan dadah.
“Suspek lelaki berada di Malaysia sejak November tahun lepas, manakala isterinya pula baru sahaja sampai kira-kira seminggu sebelum ditangkap. Ujian urin mendapati suspek wanita positif dadah, manakala suaminya negatif,” katanya sambil menambah kedua-dua mereka mempunyai pasport dan visa lawatan yang sah.
Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan berstatus penganggur itu, kini ditahan reman hingga 29 Jan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis percaya hasil pemprosesan dadah dari makmal tersebut adalah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.