Pelajar tahfiz cedera dipercayai dipukul 3 rakan

Pelajar tahfiz cedera dipercayai dipukul 3 rakan

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata mangsa mengalami lebam serta bengkak pada kedua-dua belah tangan.

Naazron Abdul Yusof
Punca sebenar kejadian dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang pelajar tahfiz mendakwa mengalami kecederaan akibat dipukul oleh tiga rakan pelajar di sebuah pusat tahfiz di Kajang, 18 Jan lepas.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Isnin lepas kira-kira 11.28 pagi.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah malam, menyebabkan mangsa mengalami lebam serta bengkak pada kedua-dua belah tangan.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kes tersebut dan punca sebenar kejadian kini sedang dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Naazron berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes Muhammad Haniffa Abd Rajk menerusi talian 019-7356544.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.