3 pegawai imigresen mengaku tak salah rasuah ‘pasport terbang’, pecah amanah

3 pegawai imigresen mengaku tak salah rasuah ‘pasport terbang’, pecah amanah

Shamsul Hezzam Sudin dan Asrof Tukiman didakwa terima wang tunai bagi dapatkan cap pengesahan keluar dan masuk ke Malaysia tanpa kehadiran fizikal pemilik pasport.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru membenarkan tiga tertuduh diikat jamin antara RM8,000 dan RM10,000. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Tiga pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan rasuah dan pecah amanah.

Harian Metro melaporkan Shamsul Hezzam Sudin, 50, Mohd Asrof Tukiman, 48, dan Ruhaya Hamzah, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Shamsul yang juga pegawai imigresen kanan di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Johor didakwa setuju menerima wang tunai RM8,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki di sebuah rumah dekat Jalan Pahlawan, Bukit Saujana antara 7 hingga 8 Julai 2025.

Asrof yang berdepan tiga pertuduhan didakwa sebagai pegawai imigresen kanan di AKPS, Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru, setuju menerima wang berjumlah RM6,490 tanpa balasan melalui akaun seorang lelaki di sebuah bank dekat Taman Seri Bahagia pada 21 Mei hingga 2 Jun tahun lalu.

Kedua-duanya tahu tindakan itu ada kaitan tugas rasmi mereka bagi mendapatkan cap pengesahan keluar dan masuk ke Malaysia secara tidak teratur (pasport terbang) tanpa kehadiran fizikal pemilik pasport yang tidak mematuhi Akta Imigresen 1959/63.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ruhaya selaku penolong penguasa imigresen dan bendahari Kelab Kebajikan Rekreasi, Inovasi dan Sukan Jabatan Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, menggunakan wang berjumlah RM61,300 daripada akaun kelab berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kulai antara 26 Jan hingga 15 Nov 2023. Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Shamsul dibenarkan diikat jamin RM8,000, manakala Asrof dan Ruhaya masing-masing diikat jamin RM10,000.

Hakim menetapkan 27 Feb dan 11 Mac ini untuk serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.