Bekas setpol mantan KM Melaka, isteri direman kes rasuah RM3 juta

Bekas setpol mantan KM Melaka, isteri direman kes rasuah RM3 juta

Mereka disyaki minta, terima suapan bagi bantu syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.

pasangan suami isteri
Bekas setiausaha politik kepada bekas ketua menteri Melaka dan isterinya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas setiausaha politik kepada bekas ketua menteri Melaka dan isterinya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.

Perintah reman hingga 16 Feb ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Siasatan akan dijalankan membabitkan dakwaan meminta dan menerima suapan kira-kira RM3 juta sebagai balasan membantu syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.

Media melaporkan, pasangan suami isteri itu ditahan pada 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Siasatan awal SPRM mendapati suspek yang bergelar ‘Datuk Wira’ itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit antara Februari hingga November 2021.

Hasil siasatan turut mendapati wang rasuah berkenaan dipercayai digunakan untuk membeli seunit kondominium di sekitar Lembah Klang.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di perkarangan Mahkamah Putrajaya kira-kira 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan kes disiasat di bawah Seksyen 16a(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.