Rasuah lesen perniagaan, 7 pegawai penguat kuasa PBT direman

Rasuah lesen perniagaan, 7 pegawai penguat kuasa PBT direman

Semua suspek lelaki berusia sekitar 30 hingga 50an itu ditahan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam di sekitar Lembah Klang.

macc sprm
Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai menerima wang rasuah hingga RM15,000 setiap bulan untuk percepat permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.
PETALING JAYA:
Enam pegawai dan seorang bekas pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 berkaitan urusan lesen perniagaan.

Perintah reman terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia sekitar 30 hingga 50an itu ditahan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasdatan mendapati mereka disyaki menerima wang rasuah daripada pemilik syarikat perniagaan sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.

“Selain itu, suspek juga dipercayai melindungi syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2019 hingga 2023,” katanya, menurut Sinar Harian.

Tambahnya lagi, suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat.

“Wang tersebut sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan serta melindungi syarikat terbabit daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.