Malaysia lonjak kedudukan ke-54 indeks persepsi rasuah

Malaysia lonjak kedudukan ke-54 indeks persepsi rasuah

Malaysia catat skor 52 mata tahun ini, meningkat daripada 50 pada 2024 dan 2023.

KL skyline
Malaysia naik ke tangga ke-54 dalam indeks persepsi rasuah 2025 Transparency International berbanding ke-57 tahun lalu. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2025 bertambah baik apabila naik ke tangga ke-54 berbanding tempat ke-57 pada tahun sebelumnya.

Indeks itu menilai 182 negara berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam, menggunakan skala 0 (sangat rasuah) hingga 100 (sangat bersih).

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Raymon Ram, hari ini mengumumkan bahawa Malaysia memperoleh 52 mata bagi 2025, meningkat daripada 50 mata pada 2024 dan 2023.

Keputusan terbaharu itu menandakan peningkatan selepas beberapa tahun skor yang sebahagian besarnya mendatar, dengan 47 mata dicatatkan pada 2022, 48 pada 2021 dan 51 pada 2020.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, TI-M memberi amaran agar tidak berasa selesa walaupun kedudukan Malaysia bertambah baik.

“Cabaran sekarang adalah untuk mengekalkan momentum dan mempercepatkan usaha
penggubalan undang-undang jika ingin mencapai sasaran yang dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, iaitu kedudukan 25 teratas menjelang 2033,” kata NGO itu.

Raymon berkata Malaysia juga masih memerlukan akta pendanaan politik bagi menjadikan kewangan politik lebih telus dan adil.

“Ketiadaan pengisytiharan wajib, had sumbangan dan penguatkuasaan bebas yang berterusan
membenarkan pembiayaan politik yang tidak jelas dan pengaruh yang tidak wajar kekal sebagai risiko rasuah berstruktur,” katanya.

TI-M mengaitkan peningkatan skor Malaysia antara lainya adalah strategi antirasuah nasional, selain penguatkuasaan aktif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pegawai kanan awam dan elit politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.