
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata perkara itu boleh dilakukan kerana siasatan terhadap kes jenayah tidak ada had masa.
“Kes itu mungkin pada ketika dahulu dikatakan tidak ada kes, tetapi sekiranya ada bukti, petunjuk ataupun ‘lead’ baharu, SPRM akan menjalankan siasatan.
“Banyak perkara…di mana banyak kes-kes terdahulu, sama ada suka atau tidak suka, kita meneruskan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan SPRM di Menara Seri Wilayah.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika SPRM akan membuka semula siasatan terhadap kes lama susulan isu banyak aduan bawah seliaan JWP.
Azam menegaskan, SPRM tidak akan menjalankan pemantauan secara menyeluruh ke atas semua jabatan tanpa asas siasatan atau maklumat kukuh.
“Kita tidak pergi ’round’ semua jabatan untuk tengok tentang sistem dan kelemahan di sana. Itu bukan kerja kami,” katanya sambil meminta ketua jabatan lebih proaktif menilai kelemahan dalam sistem masing-masing dan melaporkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Azam berkata peranan SPRM terhad kepada menyita dan melucut hak wang hasil rasuah sebelum diserahkan kepada kerajaan, manakala soal pengurusan serta perbelanjaan dana itu terletak sepenuhnya bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
“Sekiranya dikatakan tugas kami adalah untuk menyita dan seterusnya melucut hak wang itu kepada kerajaan bawah Kementerian Kewangan, bukan tugas kami untuk memastikan ke mana wang itu dibelanjakan. Itu adalah tanggungjawab (kementerian),” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Malaysian Corruption Watch (MCW), semalam, yang menyeru kerajaan meningkatkan ketelusan dalam menguruskan dana rasuah diperoleh semula bagi memastikan wang itu memberi manfaat kepada rakyat.