
Keputusan itu dicapai melalui mesyuarat pasukan petugas khas hala tuju pengurusan penguatkuasaan pengimportan sisa plastik dan e-waste dalam negara sebagai langkah memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang mempengerusikan mesyuarat itu menegaskan tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu semua agensi berkaitan adalah diperlukan.
“E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini. Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas melibatkan semua agensi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarahkan untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Kastam bagi mewartakan sisa tersebut di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Tambahnya, sebuah Jawatankuasa Khas Penyelarasan e-waste turut ditubuhkan di bawah seliaan Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Nik Ezanee Mohd Faisal bagi memastikan kelancaran polisi baharu itu.
“Jawatankuasa ini perlu melaporkan hasil mesyuarat kepada pasukan petugas khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Menurut Azam, mesyuarat turut membincangkan cadangan moratorium tiga bulan ke atas pengimportan sisa plastik.
Bagaimanapun katanya, keputusan akhir bergantung kepada data terperinci mengenai impak ekonomi yang perlu dikemukakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp.
“Data tersebut akan dipertimbangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.
Sebelum ini, e-waste dikategorikan di bawah “Larangan Bersyarat” yang memberi kuasa budi bicara kepada ketua pengarah JAS untuk memberi pengecualian import mengikut syarat tertentu bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Malaysia merupakan antara negara teratas yang mengimport e-waste sejak 2023, menurut laporan 2025 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.
Malaysia mula memperketat sekatan terhadap import sisa plastik bermula 1 Julai tahun lalu, dengan kebanyakan import kini dilarang kecuali yang melalui Institut Penyelidikan Standard dan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta sistem permit Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.