
Katanya, perjumpaan itu akan diadakan dalam masa terdekat berikutan keputusan kerajaan bulan lalu yang membekukan sementara semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan susulan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai tinggi ATM.
“Saya dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Khaled Nordin serta ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, bahawa dokumen yang memperincikan perbelanjaan pengoperasian yang harus diteruskan dan tidak dibekukan berada di peringkat akhir semakan sebelum dibentang kepada perdana menteri.
“Insya-Allah dalam tempoh seminggu, kami akan membuat rayuan kepada perdana menteri untuk sekurang-kurangnya melepaskan perbelanjaan operasi supaya kami dapat bergerak ke hadapan,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata di sidang media di Wisma Pertahanan.
Malek yang memulakan tugas sebagai panglima ATM berkata beliau yakin Anwar yang juga menteri kewangan akan memberi pertimbangan sewajarnya sebaik justifikasi dikemukakan, khususnya bagi komponen perbelanjaan operasi yang paling kritikal.
“Saya percaya, beliau sekurang-kurangnya akan melepaskan bahagian terpenting perbelanjaan operasi,” katanya.
Malek berkata sebarang penangguhan berpanjangan terhadap perolehan dan perbelanjaan operasi akan menjejaskan aktiviti ketenteraan yang sedang berjalan.
Beliau berkata perbelanjaan operasi meliputi keperluan harian seperti makanan anggota, bahan api, pergerakan anggota dan pengangkutan yang dianggarkan sekitar RM2 bilion bagi Tentera Darat dengan kira-kira RM1.5 bilion masing-masing untuk Tentera Laut dan Tentera Udara.
“Apabila perolehan dibekukan atau digantung sementara, ia sudah tentu menjejaskan operasi kami, sama ada pelan pembangunan atau perbelanjaan operasi yang menyokong aktiviti rutin.
“Kesiapsiagaan kami akan menurun jika perbelanjaan operasi terus dibekukan. Ini perkara yang serius,” katanya.