
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengarahkan datuk bandar Kuala Lumpur segera memperbaiki kelemahan dan ‘grey area’ yang dikesan dalam pengurusan kontrak pihak berkuasa tempatan itu.
Yeoh mengakui terdapat kekurangan di DBKL yang menuntut pembaharuan segera, malah dapatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan tatakelola disifatkan tepat dan memerlukan tindakan sewajarnya.
“Kita berterima kasih kerana SPRM masuk (menjalankan siasatan tatakelola) dan mereka menjalankan banyak penilaian terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam DBKL. Ada banyak kelemahan perlu dibaiki.
“Selalunya apabila ada SOP kurang jelas atau ‘grey area’, perkara itu akan membuka ruang untuk melakukan rasuah. Disebabkan itu apabila ada cadangan penambahbaikan, saranan itu adalah tepat…ia bukan lagi menjadi ‘grey area’ dengan langkah (penambahbaikan) dilaksanakan segera,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan SPRM di Menara Seri Wilayah.
Hadir sama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan pengurusan dan pemantauan pelbagai kontrak oleh DBKL, termasuk penganugerahan lesen perniagaan, dilihat lemah dan ketinggalan serta tidak setanding pembangunan dan pengiktirafan diterima bandar raya itu.
Sementara itu, Yeoh berkata JWP akan memperkukuh tadbir urus dan tatakelola melalui empat langkah utama termasuk pelaksanaan pusingan kerja (job rotation) lebih kerap, khususnya membabitkan pegawai lapangan dan jawatan sensitif bagi mengurangkan risiko ancaman keakraban (familiarity threat).
“Selain itu, tatacara pengurusan perolehan akan ditambah baik melalui pelaksanaan proses sebut harga dan tender secara sepenuhnya dalam talian (end-to-end) bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan proses perolehan.
“Ketiga, penggunaan kamera badan (body-worn camera) oleh anggota penguat kuasa akan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat 2026 bagi memastikan pematuhan terhadap SOP semasa operasi penguatkuasaan, selain menjadi bukti visual dan audio sekiranya berlaku pertikaian atau tuduhan salah laku sama ada oleh atau terhadap anggota penguat kuasa,” katanya.
Katanya, langkah seterusnya membabitkan penilaian semula penarafan risiko Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) supaya pegawai SPRM boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di unit integriti pejabat berkenaan.